Sekilas
- Azhan Rani beri penjelasan tentang pengalamannya berdepan sikap segelintir rakan artis yang tidak menepati masa ketika penggambaran.
- Azhan tekankan pentingnya disiplin dan menghargai masa, bukan sahaja untuk pelakon lama atau baru, tetapi juga sebagai peringatan untuk dirinya sendiri.
- Beliau menganggap lewat hadir ke lokasi penggambaran sebagai tanda tidak menghormati masa dan usaha orang lain dalam industri hiburan.
Pelakon Azhan Rani tampil memberi penjelasan berhubung hantarannya mengenai pengalaman berdepan sikap segelintir rakan artis yang tidak menepati masa ketika menjalani penggambaran.
Menurut Azhan, hantaran yang dibuat pada awalnya tercetus selepas membaca artikel mengenai seorang menteri di Jepun yang memohon maaf secara terbuka hanya kerana lewat lima minit ke mesyuarat.
“Saya baca komen ramai salahkan menteri kita dan membanding-bandingkan. Tapi bagi saya tak perlu bandingkan dengan menteri, bandingkan dengan diri sendiri sahaja lah.'
“Sebab kadang-kadang kita dengan kawan-kawan pun lambat dan ada juga kita penyebab orang lain menunggu,” katanya kepada Gempak.
Azhan berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis Tayangan Perdana Brandfilm Raya D’Herbs yang bertajuk ‘Ya, Abang Saya Sekuriti’ bertempat di GSC IOI Mall Damansara pada Isnin.
Dalam masa yang sama, pelakon drama Seribu Tahun ini turut mengaitkan isu tersebut dengan tahap disiplin seseorang terutama sekali melibatkan pengurusan masa ketika di set penggambaran.
“Tapi isu menunggu ni relate dengan semua orang tak kisah lah waktu penggambaran, mendaki atau aktiviti riding. Bila aktiviti melibatkan kumpulan, mesti ada yang akan lambat.'
“Kalau penggambaran, orang kata kalau 10 tahun ibarat lapan tahun menunggu dan hanya dua tahun je berlakon,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Azhan menjelaskan bahawa nasihat yang dibuat bukanlah bertujuan untuk menuding jari kepada mana-mana pihak namun ia juga sebagai tanda peringatan buat dirinya sendiri.
“Sebenarnya ini nasihat untuk diri saya sendiri juga, jangan buat orang menunggu lebih-lebih lagi bila penggambaran yang melibatkan kos dan tenaga orang lain.
“Tak kisah pelakon lama atau baharu, sebab kadangkala pelakon senior tak menjanjikan disiplin sepenuhnya dan hanya menunggang perkataan 'senior' sebagai 'lesen' besar untuk lakukan apa sahaja.
“Ada pula pelakon baharu mungkin inginkan keselesaan. Jadi apa-apa pun niat kita lah, kalau kita hargai pekerjaan tak kisahlah jadi pelakon atau pengawal keselamatan, kita akan buat sepenuh hati,” ujarnya
Terdahulu, Azhan meluahkan rasa terkilan terhadap sikap segelintir pelakon khususnya pendatang baharu yang dilihat hadir lewat ke lokasi penggambaran menerusi aplikasi Threads.
Ujar Azhan, tindakan tidak menepati waktu disifatkan sebagai tidak menghormati masa orang lain.