Sekilas
- Filem aksi TARUNG: Unforgiven arahan Razaisyam Rashid mengangkat tema perjuangan dan penebusan dengan teknologi bunyi Dolby Atmos untuk pengalaman sinematik lebih mendalam.
- Barisan pelakon termasuk Mierul Aiman, Aedy Ashraf, Bront Palarae dan Zul Ariffin menjanjikan persembahan mantap dalam kisah penuh emosi dan aksi hebat.
- Filem ini akan ditayangkan di 148 pawagam mulai 7 Mei 2026 dengan jelajah promosi di beberapa lokasi utama serta kolaborasi unik bersama jenama tempatan.
Filem aksi paling dinantikan tahun ini, TARUNG: Unforgiven tampil sebagai karya sinematik memukau dengan mengangkat naratif berani di mana kehidupan ini adalah ‘gelanggang’ yang sebenar.
Filem ini diarahkan sutradara box office, Razaisyam Rashid dan diterbitkan oleh ALPHA47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw.
TARUNG: Unforgiven dengan tagline ‘kau cuma ayam sabung’, menonjolkan kisah yang berpaksikan pada perjuangan, penebusan dan pilihan hidup.
Menurut Pengarah dan Penulis Skrip TARUNG: Unforgiven, Razaisyam Rashid juga merangkap Penerbit Eksekutif, sebagai filem terbaru terbitan Alpha 47, TARUNG: Unforgiven membawa makna yang besar buat dirinya dan seluruh pasukan produksi.
“Perjalanan menghasilkan filem ini bukan mudah, namun mereka berusaha memberikan yang terbaik dari segi jalan cerita, lakonan, aksi dan emosi agar dapat dinikmati oleh semua, termasuk memberikan pengalaman sinematik yang lebih epik dan imersif kepada penonton melalui teknologi bunyi Dolby Atmos.
“Tagline ‘kau cuma ayam sabung’ bukan sekadar tentang pertarungan di gelanggang, tetapi juga tentang kehidupan di mana setiap orang ada perjuangan masing-masing, sama ada melawan masa lalu, tekanan atau pilihan yang perlu dibuat.
“Ini adalah hasil usaha bersama seluruh kru, barisan pelakon dan semua yang terlibat. Kami berharap filem ini dapat diterima baik oleh penonton dan menjadi langkah bermakna buat Alpha 47 untuk terus menghasilkan lebih banyak karya tempatan selepas ini,” ujarnya.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif dan Pelakon TARUNG: Unforgiven, Aedy Ashraf berkata, filem tersebut memberikan cabaran pertama buat dirinya yang terlibat sebagai penerbit.
“Sudah tentu filem ini menjadi satu tanggungjawab besar untuk saya. TARUNG: Unforgiven adalah sebuah projek yang sangat dekat dengan hati saya, bukan sahaja sebagai pelakon, tetapi juga sebagai seseorang yang diberi kepercayaan untuk bersama-sama membawa karya ini kepada penonton.
“Saya cuba memberikan yang terbaik dari segi lakonan, komitmen dan keseluruhan perjalanan filem ini.
“Selebihnya, saya serahkan kepada penonton untuk menilai dan merasai sendiri apa yang kami cuba sampaikan melalui TARUNG: Unforgiven.
“Harapan saya, filem ini dapat diterima sebagai sebuah karya tempatan yang berani, matang dan dekat dengan perjuangan setiap manusia,” katanya.

Selain jalan cerita yang padat dengan emosi dan mendebarkan hasil tulisan Amar Amir dan Razaisyam Rashid, kemunculan barisan pelakon berkaliber menjadi salah satu kekuatan filem ini.
Mierul Aiman muncul sebagai bintang utama dengan membawa tenaga baharu dalam sebuah naskhah aksi berskala besar.
Manakala Aedy Ashraf mengukuhkan versatiliti lakonannya dan memperlihatkan kematangan dalam membawakan watak yang lebih kompleks.
Bintang bertaraf antarabangsa, Bront Palarae sekali lagi membuktikan dirinya masih berada dalam kelas tersendiri.
Lebih mencuri tumpuan, Bront buat pertama kalinya digandingkan dengan satu lagi nama besar, Zul Ariffin, sekali gus menjadikan gabungan ini sebagai antara elemen yang paling dinantikan.
Pertembungan dua pelakon hebat ini menjanjikan intensiti persembahan yang mantap.
Turut serta ialah Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel, Razib Salimin, Shaharuddin Thamby, Wak Ruzaidi, Theebaan G, Akmal Asyraf serta petarung sebenar, Jai JMT dan Ijam Asri, yang menyumbang kekuatan tersendiri, menjadikan filem ini lebih kuat dengan momen yang wajib diberi perhatian.
Selain itu, filem ini mempunyai dua runut bunyi eksklusif. Lagu bertajuk ‘Test’ dibawakan trio muda, Distorted (SINO, BALO dan ENEYEQAY), sementara itu, Noh Salleh bakal hit dengan lagu ‘Terbang’.
Barisan pelakon TARUNG: Unforgiven akan menemui peminat menerusi siri jelajah bermula 8 Mei.
Jelajah ini akan merangkumi lokasi-lokasi terpilih di Lembah Klang pada 9 dan 10 Mei, 15, 16, 17 Mei di Selatan, 22, 23, 24 Mei di Utara serta 29, 30, 31 Mei di Pantai Timur.
Karya ini turut memperlihatkan kolaborasi bersama Kunafa Aiwahhh sebagai Rakan Kunafa Rasmi dengan memperkenalkan edisi terhad Kunafa Tarung.
Diilhamkan daripada semangat pertarungan, edisi khas ini menggabungkan kunafa rangup bersama lapisan keju leleh dan sambal daging pedas.
Tidak ketinggalan, jenama Nuhae selaku Rakan Kesejahteraan Rasmi yang membantu memperluaskan capaian kepada penonton sasaran melalui pelaksanaan kempen video komersial.
Saksikan filem TARUNG: Unforgiven yang bakal ditayangkan di 148 buah pawagam bermula 7 Mei 2026.
Tiket awal sudah mula boleh dapatkan di semua pawagam bermula 3 Mei.
Sinopsis:
Hatta (Mierul Aiman) merupakan seorang bekas juara silat, diburu dosa silam selepas berlakunya satu tragedi.
Namun, demi menyelamatkan kakaknya, dia menerima tawaran daripada Paduka Badrul (Zul Ariffin) untuk ke gelanggang haram.
Hatta tidak menyedari lawan yang menanti ialah Isa (Aedy Ashraf), sahabat lama yang kini menjadi musuh akibat dendam.