Filem seram terbaharu terbitan Astro Shaw berjudul Malam Terlarang mengangkat kisah-kisah benar masyarakat tempatan berhubung ritual mistik dan mitos Nusantara yang semakin dilupakan
Menurut Penerbit Eksekutif merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, Malam Terlarang membawa elemen yang dekat dengan masyarakat tempatan serta kisah ritual yang benar-benar pernah diamalkan.
Advertisement
“Filem ini diinspirasikan daripada kisah sebenar masyarakat Nusantara seperti ritual ‘puja pantai’ yang pernah diamalkan suatu ketika dahulu sebelum diharamkan pada tahun 1970-an.
“Kami mahu menghidupkan semula mitos legenda dewi laut Nusantara bernama Pamakbul, yang menjadi nadi kepada cerita ini,” katanya.
Tambahnya lagi, kekuatan Malam Terlarang bukan hanya pada unsur seram, tetapi juga pada kisah kekeluargaan dan emosi yang menyentuh jiwa penonton.
“Kami bukan sekadar mahu menakutkan penonton, sebaliknya mahu membawa kisah yang menyentuh emosi bagaimana manusia sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi nafsu dan keinginan duniawi,” ujarnya.
Pengarahnya, Labu, sebelum ini dikenali sebagai Pengarah Fotografi dan pernah mengarahkan drama premium Astro Originals X-Change. Filem ini menjadi debut sulungnya di layar perak.
Penggambaran dijalankan di sekitar Pantai Morib dan Kuala Selangor, dengan landskap semula jadi seperti paya bakau dan pesisiran pantai yang menambah elemen mistik kepada penceritaan.
Idea asal Malam Terlarang dicetuskan oleh tenaga kreatif Astro Shaw, Hazo Mahayuddin, bersama Nazifdin Nasrudin, Haris M. Nor dan Ariff Zulkarnain, manakala produksi digerakkan oleh Infinitus Gold.
Menampilkan gandingan pertama kali dua pelakon hebat, Zul Ariffin dan Sofia Jane, karya arahan pengarah baharu, Nurhanisham Muhammad atau Labu, menjanjikan pengalaman seram dengan sentuhan budaya tempatan yang jarang ditampilkan di layar perak.
Berlatarkan era 1980-an, Malam Terlarang mengisahkan tentang Mawar, gadis berusia 18 tahun yang dihantui kejadian mistik selepas kematian kakaknya, Safar. Filem ini membawa penonton menyelami konflik sebuah keluarga yang menyimpan rahsia gelap merentas generasi.
Watak Mawar dilakonkan oleh pelakon berbakat Shasha Abedul, manakala Zul Ariffin memegang peranan sebagai Omar, seorang ahli politik yang berdepan dilema keluarga dan dunia mistik. Filem ini turut menampilkan Sabri Yunus, Normah Damanhuri, Hasnul Rahmat, Amir Nafis, Haneesya Hanee, Aila Azizul dan Sadiq M. Jamil.
Filem ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei bermula 30 Oktober, serta di Kemboja pada 27 Oktober. Tiket sudah mula dijual sejak 27 Oktober lalu.
Penonton juga berpeluang menemui barisan pelakon pada 1, 2, 8 dan 9 November di beberapa pawagam terpilih sekitar Lembah Klang.