Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yakoob mempersoalkan tindakan segelintir pihak menunjukkan layanan berbeza terhadap mereka yang berstatus janda berbanding duda.
Menerusi satu hantaran dia platform Threads, Fazley atau nama lengkapnya Ahmad Fadzli Yaakob melihat individu bergelar duda sering mendapat perhatian dan dianggap sebagai calon ideal namun tidak bagi wanita yang bergelar janda.
“Nak tanya, kenapa bila jadi duda orang semua sibuk nak kenal, tapi bila yang jadi janda semua pandang serong?
“Bukan semua duda bak malaikat dan bukan semua janda tu macam syaitan. Kau faham tak?” tulisnya.
Kenyataan itu menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata bersetuju dengan pendapat pelantun lagu Asmara Cinta itu dan menyifatkan stigma negatif terhadap golongan janda masih lagi wujud dalam masyarakat.



Sekadar info, Fazley sebelum ini mengesahkan sudah bercerai dengan Azrene Soraya Abdul Aziz atau Azrene Ahmad selepas 18 tahun hidup bersama.
Fazley dan Azrene mendirikan rumah tangga pada 2006.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat orang anak, iaitu Ahmad Fariedz Shah, 15, Ahmad Fieradz Shah, 14, Ahmad Fierudz Shah, 13, dan Alayna Selma, 7.