Sekilas
- Puteri Sarah Liyana kurang selesa jika anak-anaknya terlalu didedahkan dengan dunia seni sejak kecil, lebih selesa jika hanya muncul sedikit dalam iklan atau siaran langsung ringkas.
- Dia menegaskan pendidikan adalah keutamaan dalam membesarkan anak-anaknya dan berharap Sumayyah menjadi doktor manakala Syaikhul berminat dalam bidang kejuruteraan.
- Puteri Sarah berkongsi pandangan ini selepas menjawab soalan netizen dan kini membesarkan dua anak hasil perkahwinan terdahulu dengan Syamsul Yusof yang berakhir dengan perceraian pada 2023.
Pelakon Puteri Sarah Liyana mengakui kurang selesa sekiranya dua anaknya, Syaikhul Islam dan Sumayyah terlalu didedahkan dengan bidang seni sejak usia kecil.
Perkara itu dikongsikan Puteri Sarah menerusi Instagram Story selepas menjawab pertanyaan seorang netizen yang bertanya sama ada dia terbuka sekiranya kedua-dua anaknya mengikut jejak langkahnya sebagai artis pada masa hadapan.
“Saya tidak suka terlalu mendedahkan anak-anak. Kalau sekadar muncul sedikit, seperti dalam iklan televisyen (TVC) dan tidak kerap, itu masih boleh diterima.
“Namun, jika terlalu terdedah saya rasa kurang selesa. Saya pula memang setiap hari membuat siaran langsung, jadi kalau anak-anak muncul sekejap untuk ucap ‘hai’ itu tidak mengapa,” katanya.

Menurut Puteri Sarah, dia kurang gemar apabila ada pendedahan yang berlebihan terhadap anak-anaknya, terutama melibatkan dunia hiburan.
“Cuma jika terlalu kerap dan berlebihan, saya tidak suka,” ujarnya.
Dalam masa sama, pelakon drama Hijrah Jannah itu menegaskan pendidikan menjadi keutamaan dalam membesarkan anak-anaknya berbanding mengejar populariti sejak kecil.
“Bagi saya, pendidikan anak-anak sangat penting.
“Kalau boleh, saya mahu Sumayyah menjadi doktor, manakala abang minat dalam bidang kejuruteraan,” jelasnya.
Untuk rekod, Puteri Sarah mendirikan rumah tangga dengan pengarah Syamsul Yusof pada 8 Mac 2014, namun mereka sah bercerai talak satu pada 14 Jun 2023.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan itu dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Syaikhul, 9, dan Sumayyah, 8 tahun.