Sekilas
- Ramai mahasiswa menghadapi cabaran kewangan yang serius untuk menampung kos pengajian dan kehidupan harian, termasuk sewa, makan, dan keperluan lain.
- Program Santun Pelajar Mekdi menyediakan baucar makanan McDonald's kepada pelajar memerlukan di lebih 75 IPT sebagai bantuan meringankan beban mereka.
- Kerjasama antara Gempak dan Program Santun Pelajar Mekdi akan diteruskan melalui Program Gempakkan Kampus dengan pelbagai aktiviti menarik untuk warga universiti.
Bagi sesetengah mahasiswa, kehidupan di universiti bukan sekadar tentang menghadiri kuliah, menyiapkan tugasan dan mengejar keputusan cemerlang.
Di sebalik usaha mengejar cita-cita, ada yang terpaksa berdepan realiti hidup yang cukup mencabar apabila wang untuk meneruskan pengajian tidak mencukupi.
Selepas Gempak berkongsi lima kisah mahasiswa yang berdepan cabaran kewangan demi meneruskan pengajian, rata-rata netizen mengakui pernah berdepan dengan situasi sama.
Ada antara mereka yang terpaksa berjimat sehingga mengikat perut, bekerja sambilan untuk menampung perbelanjaan harian, malah ada juga yang memilih untuk menyembunyikan kesusahan daripada pengetahuan keluarga demi tidak mahu menambah beban ibu bapa.
Bagi mereka yang pernah melalui kehidupan sebagai mahasiswa, perjuangan itu bukan sesuatu yang asing.
Ada kalanya, wang yang sepatutnya digunakan untuk makan perlu dibahagikan dengan bayaran sewa, tambang ke kuliah, buku dan keperluan pengajian yang lain.
“PTPTN tak cukup. Anak saya selepas tolak yuran dapat RM1,200 untuk satu semester selama enam bulan. Sewa rumah sahaja RM200 sebulan. Mana nak makan? Nak bayar ulang-alik ke kuliah? Nak beli buku lagi? Sepatutnya kerajaan kena kaji balik jumlah pinjaman PTPTN.
“Sabtu Ahad kerja sambilan sebab tak nak susahkan mak ayah.
“Dulu duduk asrama makan tiga kali sehari, tetapi tuntutan aktiviti asrama semakin tinggi. Nak jaga pointer, terpaksa sewa bilik luar. Tapi makan sehari sekali, nasib perut dah biasa.
“Yang hadap sahaja faham. Semoga kita sentiasa kuat.
“Kisah macam anak makcik. Makan tengah hari separuh lagi untuk makan malam. Sekarang alhamdulillah dah berjaya," komen netizen. 







Program Santun Pelajar Mekdi Ringankan Beban Mahasiswa
Menyedari realiti kehidupan mahasiswa yang berdepan kekangan kewangan, Program Santun Pelajar Mekdi tampil sebagai salah satu inisiatif untuk membantu pelajar di lebih daripada 75 IPT di seluruh negara.
Menerusi program ini, mahasiswa daripada golongan yang memerlukan menerima baucar makanan yang boleh ditebus di restoran McDonald's, sekali gus membantu meringankan beban perbelanjaan harian mereka.
Walaupun bantuan makanan mungkin kelihatan sederhana bagi sesetengah pihak, bagi mahasiswa yang terpaksa mengira setiap sen sebelum membeli makanan, bantuan sedemikian mampu membawa kelegaan yang cukup bermakna.
Menariknya, usaha ini bakal diteruskan dengan kerjasama Gempak menerusi Program Gempakkan Kampus, yang menjanjikan pelbagai pengisian dan aktiviti menarik buat warga universiti.