Sekilas
- Burn pernah menerima pendapatan lumayan sehingga RM37,000 selepas menyertai Akademi Fantasia lebih 20 tahun lalu.
- Dia juga pernah membuat persembahan di Istana Nurul Iman, Brunei dan menerima hadiah jam tangan bernilai RM30,000 daripada Sultan Brunei.
- Walaupun berjaya dari segi kewangan, Burn mengakui dia pernah boros dan kurang bijak menguruskan duit pada waktu itu.
Penyanyi yang kini pundit dan pengulas sukan, Burn mendedahkan dia pernah menerima pendapatan lumayan mencecah puluhan ribu ringgit selepas penyertaannya dalam porgram Akademi Fantasia (AF), lebih dua dekad yang lalu.
Bukan itu sahaja, Burn juga memaklumkan dia pernah membuat persembahan di Istana Nurul Iman yang terletak di Brunei serta menerima hadiah berupa jam tangan bernilai RM30,000 ketika berkunjung ke istana berkenaan.
“Cerita betul. Aku pernah dapat jam tangan daripada, Sultan Brunei yang bagi aku melawat Istana Nurul Iman.
“Aku dihadiahkan seutas jam tangan yang bernilai RM30,000. Selalu kita dengar saja cerita-cerita macam tu kan? Tapi aku rasai sendiri dan aku jadi saksi,” katanya menerusi sebuah podcast.
Mengimbas kembali perjalanan kerjayanya, Burn berkata jadual kerjanya ketika itu sangat padat dengan pelbagai tawaran persembahan sehingga dia berpeluang menjana pendapatan yang besar.
“Aku juga pernah buat persembahan di beberapa tempat di Brunei dan boleh dikatakan waktu itu jadual aku sangat padat sampaikan perlu ulang alik Kuala Lumpur ke Brunei.
“Memang tak berhenti dan kalau cakap pasal gaji, aku pernah terima cek daripada pihak pengurusan. Bila nak keluarkan duit, sekali dapat RM37,000,” kongsinya.
Walau bagaimanapun, Burn mengakui dia bukanlah seorang yang bijak menguruskan kewangan yang merupakan antara kesilapan besar yang pernah dilakukannya.
“Tapi kalau kau tanya aku ke mana hala, ke mana perginya semua duit itu sekarang, boleh jawablah.
“Aku cakap terus terang, aku bodoh dan aku boros waktu tu,” katanya lagi.
Sumber: TikTok