Sekilas
- Pelakon Hariz Hamdan berjaya menamatkan larian marathon penuh di Sydney walaupun mengalami kecederaan tendon Achilles seminggu sebelum acara.
- Hariz menyasarkan masa bawah empat jam namun menghadapi kekejangan teruk pada kilometer ke-25 hingga 28 yang menjejaskan prestasinya.
- Dia memuji suasana, orang dan makanan di Sydney yang meninggalkan kesan mendalam sepanjang hayatnya.
Pelakon, Hariz Hamdan meluahkan rasa syukur selepas berjaya menamatkan acara larian marathon penuh di Sydney, Australia, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Instagram, Hariz menyifatkan penyertaannya dalam acara berkenaan sebagai satu pencapaian istimewa apatah lagi ia merupakan World Major Marathon pertamanya.
Menurut Hariz, dia tidak teragak-agak menerima peluang untuk menyertai marathon penuh di Sydney apabila ditawarkan oleh pihak penaja.
“Ini merupakan yang pertama, syukur alhamdulillah dan terima kasih kepada @asicsmalaysia @asics sebab bagi peluang ini.
“Apabila mereka bertanya sama ada saya mahu berlari dalam marathon penuh di Sydney, saya tidak teragak-agak untuk mengatakan ya,” kongsinya.
Berkongsi pengalamannya ketika marathon, Hariz berkata pada awalnya dia menyimpan hasrat untuk menamatkan larian dalam tempoh kurang empat jam.
Bagaimanapun, kata Haris dia mengetahui bahawa hasrat tersebut agak sukar untuk direalisasikan selepas mengalami kecederaan pada tendon Achilles seminggu sebelum perlumbaan.

Malah kata Hariz, cabaran semakin dirasai ketika mula memasuki kilometer ke-25 hingga 28 apabila dia mula mengalami kekejangan teruk yang menjejaskan keupayaannya untuk terus berlari.
“Masa yang dicatatkan bukanlah yang terbaik. Saya menyasarkan untuk menamatkan marathon dalam masa bawah empat jam (sub-4), namun saya sendiri tahu ia hampir mustahil selepas mengalami kecederaan pada tendon Achilles seminggu sebelum perlumbaan.
“Bagaimanapun, semangat dalam diri tetap mahu memberikan yang terbaik.
“Saya mula mengalami kekejangan yang sangat teruk sekitar kilometer ke-25 hingga 28 dan ia menjejaskan kemampuan saya untuk berlari,” jelasnya.

Namun kata Haris, berdepan pelbagai cabaran, dia mengakui lokasi di Sydney berjaya menambat hatinya.
“Secara keseluruhannya, Sydney sudah menambat hati saya.
“Orang di sini sangat luar biasa, begitu juga suasana, atmosfera dan makanan. Semuanya sesuatu yang akan saya ingat sepanjang hayat,” kongsinya.