Sekilas
- Citrawarna 2026 di Dataran Merdeka mendapat pelbagai reaksi, terutama kritikan terhadap penggunaan teknologi AI dalam muzik dan poster digital yang dianggap kurang menyokong seni tempatan.
- Netizen juga mempersoalkan susunan muzik tradisional yang diubah suai dengan elemen moden seperti dangdut, serta mencadangkan penyanyi tempatan berpendidikan muzik diberi peluang.
- Walaupun ada kritikan, persembahan penari muda dan pengalaman pengunjung sepanjang acara tetap dipuji, dengan pelbagai aktiviti kebudayaan dan juadah tradisional menarik perhatian ramai.
Penganjuran Citrawarna 2026 yang kembali menghidupkan Dataran Merdeka pada malam Sabtu menerima pelbagai reaksi daripada warga maya, dengan sebahagian besar meluahkan rasa kecewa terhadap penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam persembahan.
Tinjauan di beberapa platform media sosial mendapati ramai netizen mempersoalkan keputusan penganjur yang didakwa menggunakan hampir 90 peratus muzik janaan AI, selain menghasilkan poster digital menggunakan teknologi sama sehingga disifatkan kurang menyokong penggiat seni tempatan.
Seorang pengguna media sosial menyifatkan persembahan tersebut sebagai "hilang jiwa" kerana terlalu menekankan elemen moden sehingga mengabaikan keaslian warisan yang pernah diperjuangkan tokoh seni tanah air.
"Sangat rindu Citrawarna zaman arwah Pak Ngah. Malam tadi terasa tidak ada roh, semuanya laju seperti mahu berlumba. Kita mahu tunjukkan keindahan budaya kepada pelancong, tetapi yang disajikan lebih kepada potret moden yang 'dimesinkan' semata-mata," tulis pengguna berkenaan.

Selain itu, susunan muzik turut menjadi perhatian apabila ada pihak mendakwa lagu tradisional ikonik seperti Dikir Bertingkah diubah suai menggunakan AI sehingga kehilangan identiti asal selepas digabungkan dengan elemen dangdut yang dianggap tidak bersesuaian.
Dalam pada itu, ada juga netizen berpandangan penganjur sepatutnya memberi peluang kepada penyanyi tempatan yang mempunyai latar belakang pendidikan muzik seperti Aisha Retno, Daniel Chuer dan Elica Paujin bagi mempersembahkan lagu kebudayaan negeri dengan lebih profesional.

Bagaimanapun, di sebalik kritikan terhadap aspek teknikal dan produksi, rata-rata warga maya tetap memuji komitmen serta persembahan barisan penari muda yang terlibat sepanjang acara.
"Tahniah kepada adik-adik yang membuat persembahan. Walaupun penat, senyuman tetap tidak lekang di wajah sepanjang perarakan. Semangat anak muda Malaysia ini yang sebenarnya menghidupkan suasana," tulis seorang lagi pengguna di Threads.

Selain persembahan pentas, ramai turut berkongsi pengalaman positif sepanjang menghadiri Citrawarna 2026, termasuk peluang berinteraksi dengan pengunjung daripada pelbagai latar belakang serta menikmati pelbagai juadah tradisional yang dijual di sekitar lokasi acara.
Untuk rekod, Citrawarna 2026 berlangsung di Dataran Merdeka bermula 24 hingga 26 Julai, menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan, perarakan dan tarian dari seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha menarik kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia. - Awani