Sekilas
- Che Puan Juliana Evans kini sedang menantikan kelahiran anak ketiganya selepas usia kandungan mencecah 38 minggu.
- Juliana sedang sibuk membuat persiapan terakhir termasuk mengemas dan menyediakan keperluan untuk ke hospital.
- Juliana berkongsi bahawa kehamilan adalah fasa paling mudah berbanding proses bersalin dan tempoh selepas bersalin yang sukar dijangka.
Pelakon, Che Puan Juliana Evans memaklumkan dirinya kini sedang menghitung hari untuk menyambut kelahiran anak ketiganya selepas usia kandungan mencecah 38 minggu.
Menerusi perkongsian di Threads, Juliana berkata dia kini sibuk membuat persiapan terakhir termasuk mengemas serta menyediakan keperluan untuk ke hospital.
Menurut Juliana, selepas melalui dua pengalaman kehamilan sebelum ini, dia merasakan tempoh mengandung mungkin merupakan antara fasa yang paling mudah berbanding proses kelahiran dan tempoh selepas bersalin.
“Sudah 38 minggu! Masa untuk bersalin semakin hampir. Saya sangat sibuk mengemas dan membuat persiapan.
“Selepas mempunyai dua orang anak, apa yang boleh saya katakan ialah kehamilan mungkin merupakan bahagian yang paling mudah.
“Bahagian bersalin adalah sesuatu yang paling saya tidak nantikan dan tempoh selepas bersalin juga sukar dijangka,” katanya.
Dalam hantaran yang sama, Juliana berkata pengalaman setiap ibu sepanjang tempoh berpantang dan pemulihan adalah berbeza dan dia berharap segala-galanya dapat berjalan dengan lancar.
“Tempoh pemulihan adalah antara waktu yang paling rapuh buat seorang ibu. Saya cuma berharap semuanya berjalan lancar dan saya tidak melalui sebarang pengalaman yang meninggalkan trauma,” coretnya.
Untuk info, sekitar Jun lalu, Juliana berkongsi berita gembira mengenai kehamilan anak ketiganya.
Juliana mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan yang juga kerabat Diraja Selangor, Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah pada 30 April 2017.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah, 7, dan Tengku Saidatul Ihsan Zabedah Fauziah Putri, 3.