Sekilas
- Drama Wish List yang kini popular di Astro adalah hasil idea asal pelakon Mira Filzah yang diadaptasi daripada novel yang ditulis bersama Syamnuriezmil.
- Projek drama ini sepatutnya dijalankan sebelum pandemik COVID-19 tetapi terpaksa ditangguhkan dan kini berjaya direalisasikan dengan pelakon utama Lorenzo Irmann dan Arabella.
- Mira mendapat inspirasi daripada minatnya terhadap filem dan drama romantik komedi serta berharap drama ini mendapat sambutan hangat daripada penonton.
Siapa sangka, drama Wish List yang kini mencuri perhatian penonton Astro sebenarnya merupakan idea asal pelakon, Mira Filzah.
Menurut Mira, drama yang diadaptasikan daripada novel itu sepatutnya dihasilkan beberapa tahun yang lalu namun, hasrat itu terpaksa ditangguhkan susulan kekangan pandemik COVID-19 sebelum akhirnya berjaya direalisasikan sebagai sebuah drama.
“Oh, sebenarnya novel tu dah lama dah. Saya buat bersama Syamnuriezmil. Saya ada idea tapi saya bukan penulis novel jadi, saya berjumpa dengan penulis, Syamnuriezmil untuk menghasilkan novel itu.
“Dan sebenarnya novel itu sepatutnya diadaptasikan lama dah, sebelum COVID. Tapi atas kekangan waktu dan sebagainya, ianya tu ditunda.
“Jadi Alhamdulillah sekarang diadaptasi menjadi drama dan dilakonkan oleh Lorenzo and Arabella,” katanya kepada Gempak.
Berkongsi mengenai inspirasi menghasilkan karya itu, Mira berkata Wish List lahir sepenuhnya daripada imaginasi dan bukannya berdasarkan kisah benar.
Katanya, minatnya terhadap filem dan drama romantik komedi turut menjadi antara inspirasi dalam membentuk jalan cerita tersebut.
“Sebenarnya ia adalah satu angan-angan. Dia macam terfikir, ‘Cerita macam ni best kan?’.
“Saya suka rom-com dan saya juga suka menonton filem serta drama Korea, jadi sedikit sebanyak ia memberi inspirasi untuk menghasilkan Wish List.”
Dalam pada itu, Mira berharap drama Wish List mendapat sambutan hangat daripada penonton selepas berpeluang menonton beberapa episod awal drama tersebut.
Menurutnya, kedua-dua pelakon utama iaitu Lorenzo Irmann dan Arabella berjaya membawa karakter masing-masing dengan jayanya.
“Saya dah tengok few episod dan saya rasa kedua-duanya berjaya melakonkan watak mereka dengan sangat baik.
“And yeah, I wish all the best dan semoga penonton semua sukalah dengan cerita ni,” katanya lagi.