Sekilas
- Dazrin Kamarudin mengakui pernah mengalami zaman susah dan tiada siapa yang membantu ketika perniagaannya jatuh, walaupun sebelum ini ramai mengaku kawan ketika dia popular.
- Pelakon itu tidak menyimpan dendam dan bersedia membantu sesiapa yang memerlukan selepas dia bangkit semula dalam perniagaan.
- Dazrin kini menjalankan bisnes karpet bersama rakan kongsi dengan niat membantu rumah Allah dan berkongsi produk berkualiti kepada orang ramai.
Pelakon, Dazrin Kamarudin tidak menafikan ramai pihak yang sebelum ini tidak menghiraukannya tampil meminta pertolongan dikala perniagaannya semakin berkembang.
Walau bagaimanapun, Dazrin sama sekali tidak menyimpan dendam malah bersedia memberikan pertolongan jika diperlukan.
“Itu adalah lumrah kehidupan dan terus terang kata, saya lalui perkara itu. Dulu, waktu ada nama dan banyak job, semua orang mengaku kawan dan saudara.
“Tapi bila saya jatuh, saya seorang diri saja di rumah dan hampir gila. Tak ada seorang pun datang tanya khabar. Waktu itu saya sangat susah sampaikan ada penerbit yang dah tawar berlakon tapi buat-buat lupa.
“Tapi bila kita dah berjaya dan naik semula, ada yang datang menempel dengan kejayaan kita.
“Tapi saya tak simpan dendam dan berdamai dengan takdir. Kalau ada kebaikan yang saya boleh dan tolong orang, insya-Allah saya akan bantu,” katanya kepada Gempak.
Dazrin berkongsi perkara tersebut ketika ditemui ketika majlis pelancaran Al-Aqsa karpet miliknya bertempat di Shah Alam pada Ahad.
Berkongsi mengenai zaman kejatuhan, pelakon yang pernah popular menerusi drama Adam & Hawa ini berkata, dia pernah berdepan dengan kesesakan wang sehinggakan perlu mengorek tabung untuk mengisi minyak kereta.
“Kalau dulu tawaran banyak jadi duit pun banyak. Contoh, belanja RM10,000 dapat RM15,000. Tetapi selepas itu saya berdepan zaman kejatuhan.
“Saya punya zaman kejatuhan itu sampaikan pernah korek tabung sebab duit dalam bank dah sekering-keringnya.
“Tetapi semua adalah kerja Allah, kita tak boleh persoal,” katanya.
Dazrin kemudiannya cuba bangkit dengan mencuba bermacam-macam perkara sehinggalah dia mendapat pelawaan daripada rakan perniagaannya untuk memulakan bisnes menjual karpet.
“Bila jatuh, macam-macam saya buat tapi tak jadi. Sehinggalah satu hari, partner saya pelawa buka bisnes karpet dengan niat nak bantu rumah Allah.
“Jadi, sejak itulah saya mula berniaga di samping nak berikan pengalaman buat semua orang untuk merasai kualiti karpet yang berkualiti,” ujarnya.