Sekilas
- Qireen Din, pelakon baru, mendapat perhatian ramai selepas kemunculan sulungnya dalam drama Bulan Henti Bicara menerusi watak Nazif.
- Qireen menerima banyak mesej daripada peminat di media sosial dan berterima kasih atas sokongan yang diterima walaupun tidak dapat membalas satu persatu.
- Dia mengambil peluang berlakon untuk mencabar diri dan belajar daripada pelakon senior seperti Azhan Rani dan Farah Ahmad di set penggambaran.
Model dan pelakon baharu, Qireen Din tidak menyangka kemunculan sulungnya dalam bidang lakonan menerusi drama Bulan Henti Bicara mendapat perhatian ramai sehingga menerima lambakan mesej daripada peminat di media sosial.
Qireen yang membawakan watak Nazif berkata, sambutan tersebut cukup bermakna buat dirinya yang sebelum ini tidak mempunyai pengalaman berlakon.
“Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Tak sangka drama itu boleh ‘trending’ sebab ini kali pertama saya berlakon.
“Saya dah cuba buat sehabis baik. Abang Azhan Rani, pelakon senior lain dan pengarah, Kak Eyra Rahman banyak membantu saya menjayakan watak ini,” katanya.
Menurut Qireen, keputusan menerima tawaran tersebut dibuat kerana mahu mencabar diri dan keluar daripada zon selesa selain melihat lakonan sebagai langkah seterusnya dalam kerjayanya.
“Saya nak cabar diri sebab saya tahu ini sesuatu yang mencabar memandangkan sebelum ini saya tak pernah berlakon.
“Jadi saya ambil cabaran ini untuk pergi ke tahap seterusnya. Selepas ini pun ada dua lagi drama dengan watak yang lebih mencabar,” ujarnya.
Dalam masa sama, Qireen mengakui peningkatan perhatian daripada peminat turut dirasai apabila menerima terlalu banyak mesej peribadi sehingga tidak mampu membalas satu persatu.
“Kalau saya tunjuk, memang terlalu ramai. Saya minta maaf sebab tak dapat balas satu-satu kerana semuanya di luar jangkaan.
“Tapi saya baca. Terima kasih kepada semua yang menyokong dan teruslah sokong saya,” katanya.
Tidak mahu mensia-siakan peluang berada di set bersama barisan pelakon berpengalaman, Qireen berkata dia sentiasa mendapatkan tunjuk ajar daripada senior termasuk Azhan Rani dan Farah Ahmad.
“Setiap kali datang ke set, saya niat nak belajar. Saya akan tanya mereka banyak perkara untuk saya perbaiki.
“Saya tahu setiap pertemuan ada perpisahan, jadi selagi ada peluang itu, saya mahu belajar sebanyak mungkin,” katanya.
Bulan Henti Bicara dibintangi oleh Ezzanie Jasny, Azhan Rani, Azar Azmi, Ali Reza, Hushairi Husain, Farah Ahmad, Azri Iskandar, Myra Afrina, Qaseh Izwandy, Qaiyum Aiesha dan Nik Ramly.
Bulan Henti Bicara bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di Astro Ria, dan boleh distrim menerusi Sooka