Sekilas
- Anzalna Nasir bersyukur kerana suaminya, Hanif Zaki, sentiasa prihatin dan memastikan keperluan keluarga terjaga.
- Dia menghargai keizinan suami untuk fokus menjadi suri rumah dan membesarkan anak-anak sepenuh masa.
- Anzalna menegaskan peranan suri rumah adalah tugas mulia yang dipilih dengan penuh kesedaran dan kasih sayang.
Pelakon, Anzalna Nasir meluahkan rasa syukur kerana mempunyai seorang suami, Hanif Zaki atas pengorbanan dan keprihatinan dalam memastikan keperluan keluarga sentiasa terjaga.
Menerusi hantaran di Threads, Anzalna, berkata, dia juga bersyukur kerana suami memberi keizinan untuk tidak keluar bekerja dan hanya memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak-anak.
“Sebagai seorang isteri, saya sentiasa mendoakan agar Allah memudahkan urusan kerja suami dan melapangkan rezekinya.
“Saya bersyukur kerana suami mengizinkan saya berada di rumah kerana dia mampu menyediakan keperluan kami,” katanya.
Tambah pelakon drama Memori Cinta Suraya itu, peranan suri rumah sering disalah anggap, namun bagi dirinya tanggungjawab tersebut adalah tugas yang mulia dan penuh makna.
“Menjadi suri rumah tidak bermaksud kita tidak berkebolehan, tetapi ia bererti kita memilih untuk memberi tumpuan kepada membesarkan anak-anak dan menjaga keluarga.
“Setiap wanita mempunyai pilihan masing-masing; jika ada suami yang menyokong dan mampu menyediakan segala-galanya, Alhamdulillah, itu satu nikmat.
Pada masa sama, Anzalna berkata dia bersyukur kerana dapat membesarkan anak-anak dalam suasana penuh kasih sayang dan ketenangan.
“Sekurang-kurangnya, kita dapat membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang, perhatian dan ketenangan,” ujarnya.
Untuk rekod, Anzalna dan Hanif mendirikan rumah tangga pada tahun 2016 dan dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki iaitu Mohamad Eidrees dan Mohamad Emirhan.