Pelakon, Nora Danish menafikan dakwaan kononnya dia bakal mendirikan rumah tangga dengan seorang jejaka dikenali sebagai Mickey Ayo pada Isnin.
Advertisement
Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd. Danish Hanif, 42, menjelaskan foto serta video yang tular baru-baru ini hanyalah sebahagian daripada kempen pemasaran produk, bukan persiapan majlis perkahwinannya.
“Assalamualaikum semua, ramai yang tertanya-tanya tentang foto yang viral baru-baru ini. Dengan rasa kasih dan hormat saya ingin jelaskan saya tidak akan berkahwin esok (Isnin).
“Foto dan video yang viral itu adalah sebahagian daripada kempen pemasaran produk dan tidak ada kena mengena dengan saya,” katanya menerusi hantaran di Instagram Story.

Dalam pada itu, Nora turut berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin serta mendoakan kebahagiaannya.
“Saya sangat hargai segala perhatian dan doa daripada anda semua. Saya harap kenyataan ini dapat menjelaskan tentang salah faham berlaku. Terima kasih kerana sentiasa menyokong saya dengan perhatian dan kebaikan kalian. Sayang semuanya,” ujarnya.
Terdahulu, perkongsian Nora memaparkan foto seorang lelaki berkaca mata dan memakai kopiah mencetuskan spekulasi dalam kalangan netizen.
Malah, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Mickey turut tampil dalam sebuah video di Instagram jenama sampin, dengan menyatakan dia masih percaya kepada cinta meskipun pernah gagal dua kali dalam perkahwinan.
Spekulasi semakin hangat apabila Mickey dilihat mengenakan persalinan baju Melayu putih lengkap seperti seorang pengantin lelaki, selain tular sebuah kad undangan bertarikh 8 September 2025 yang memaparkan huruf M dan N.
Ramai pengguna media sosial mengaitkan huruf N dalam kad tersebut dengan nama Nora, sekali gus menimbulkan dakwaan bahawa pelakon itu bakal berkahwin.