Sekilas
- Pelawak Sule memohon maaf dan memadam vlog yang dirakam sewaktu menziarah kediaman keluarga Allahyarham Vidi Aldiano selepas dikritik kurang sensitif.
- Sule menegaskan tiada niat negatif dalam rakaman tersebut dan hanya merakam di luar rumah tanpa cuba mencari publisiti.
- Vlog itu menunjukkan suasana haru di rumah Allahyarham yang meninggal dunia akibat kanser buah pinggang pada usia 35 tahun.
Pelawak terkenal Sule bukan hanya meminta maaf tetapi telah menghapuskan vlog yang dibikin sewaktu menziarah ke kediaman keluarga Allahyarham penyanyi Vidi Aldiano pada 17 Ramadan lalu.
Permohonan maaf dan tindakan menurunkan konten tersebut dibuat selepas dirinya dikritik sebagai tidak mempunyai empati dan kurang sopan terhadap situasi sewaktu semua pihak sedang berduka kehilangan orang yang tersayang.
Menerusi kenyataan yang diberikan, Sule meminta maaf dengan berkata: “Saya terima (kritikan). Kalau saya saya, saya minta maaf.”
Sule kemudian mengatakan tindakan merakam vlog sewaktu hadir ke rumah keluarga allahyarham tidak mempunyai niat negatif.
“Yang pasti saya tidak ada niat tidak baik, tapi saya tetap minta maaf untuk semuanya. Ini menjadi pro dan kontra, ada yang mengucapkan terima kasih jadi boleh tahu suasana di sana,” ujar Sule dikutip dari tayangan Insert TransTV, seperti dilaporkan Kompas.
Sule juga menegaskan rakaman vlog yang dibuat hanya di sekitar luar kediaman allahyarham, sekaligus menafikan cuba mencari publisiti di atas duka yang terjadi.
“Itu pun (rakaman) hanya di luar, di jalanan. Jadi tak ada istilah saya cuba buat duit daripada kedukaan orang lain. Dan sekarang sudah diturunkan (rakaman),” tegas Sule.
Terdahulu menerusi vlog yang dkongsi, Sule dilihat merakamkan suasana haru di kediaman penyanyi yang meninggal dunia pada usia 35 tahun kerana kanser buah pinggang.
Bapa Rizky Febian itu antaranya memberitahu sudah bertemu ibu dan bapa Vidi yang pernah menjemputnya pada hari ulang tahun anak sulung mereka yang berpulang selepas enam tahun melawan kanser. Dia yang merupakan seorang hos juga memperlihatkan suasana hujan namun tetamu tetap ramai datang menziarah kematian penyanyi yang menerima julukan Duta Persahabatan itu.