Penyanyi dan pempengaruh media sosial, Agy tampil bersuara selepas dituduh cuba ‘menunggang’ isu Palestin gara-gara memuat naik gambar bertemakan perjuangan negara bergolak itu di media sosial.
Perkara itu tercetus selepas seorang pengguna meninggalkan komen di ruangan artikel Gempak yang mendakwa Agy sengaja melakukan sesi fotografi semata-mata untuk meraih perhatian isu semasa.

Advertisement
“Serta-merta photoshoot tema Palestin… hah gitulah kan,” tulis netizen berkenaan.
Tidak berdiam diri, Agy segera membalas dengan menjelaskan gambar berkenaan bukan dilakukan secara tergesa-gesa seperti yang didakwa.
“Hati-hati awak, ini shoot tahun lepas lagi. Saya bukan rushing-rushing shoot semalam tau. Kalau tak ada benda baik nak cakap, baik DIAM. Kerja jangan nak cari salah orang,” tulisnya.
Ketika dihubungi Gempak, Agy berkata dia sudah tidak mahu melayan komen negatif yang dilemparkan kepadanya dan menegaskan niat asal hanyalah untuk menyebarkan mesej kemanusiaan.
“Saya dah malas nak layan mereka, buat apa pun orang tetap akan bercakap. Tapi apa yang penting bagi saya mesej itu sampai.
“Gambar tu sebenarnya memang dah lama shoot pada tahun lepas lagi. Dan saya memang bersuara mengenai Palestin. Cuma sekarang tidaklah posting seperti sebelum ini kerana ada tuntutan kerja, tapi saya akan mula kembali dan ketepikan dahulu soal kerja,” katanya.
Tambahnya lagi, dia tidak pernah mempunyai niat untuk menunggang isu Palestin demi kepentingan diri, malah pernah menolak beberapa tawaran jenama antarabangsa yang berkaitan dengan Israel.
“Oh sejujurnya, saya memang tak kisah sangat sebab saya memang dah lama tolak job yang related to Israel. Ada je beberapa jenama yang offer tapi saya tolak. Bukan nak over ke apa, tapi saya rasa tak sesuai.
“Even ada artis lain buat pun mereka tak kena teruk macam saya. Saya buat shoot dan repost pun kena keji, jadi sekarang saya rasa dah tak kisah langsung. Saya juga memang banyak fokus kepada jenama tempatan sebab mereka perlukan lebih banyak pendedahan.
“Saya tak pernah ada niat nak ‘menunggang’ macam yang netizen cakap. Saya hanya guna platform dan cara saya untuk sampaikan mesej. Untuk masa depan, saya akan cuba buat lebih baik. Bukan saya dapat duit pun, ketepikan soal duit dulu,” jelasnya.
Sementara itu, situasi di Gaza semakin tegang apabila 12 kapal yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dipintas tentera Israel di Laut Mediterranean pada kira-kira pukul 2.51 pagi waktu tempatan, menyebabkan 11 aktivis dan sukarelawan Malaysia turut ditahan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menggesa semua aktivis dan sukarelawan terbabit dibebaskan segera kerana misi berkenaan bersifat kemanusiaan dan tidak membawa sebarang ancaman ketenteraan.
“Misi ini tidak membawa sebarang ancaman ketenteraan, sebaliknya membawa bantuan penting untuk rakyat Gaza. Tindakan penahanan ini tidak wajar dan perlu dihentikan serta-merta,” katanya.
Secara keseluruhan, sekitar 201 aktivis kemanusiaan dari 36 negara dilaporkan telah diculik oleh tentera Israel selepas misi GSF ke Gaza dipintas tengah malam tadi.
Misi tersebut dilancarkan sebagai usaha membawa bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza yang berdepan krisis kemanusiaan terburuk akibat kekejaman berterusan rejim Zionis.