Doktor bedah bariatrik kepada isteri pempengaruh dan usahawan sensasi, Prince Syed, iaitu Dr Gafoor tampil memberi penjelasan mengenai tahap kesihatan wanita itu yang sebelum ini tular didakwa tenat selepas menjalani prosedur bariatrik.
Menerusi perkongsian video di TikTok, doktor berkenaan mesra disapa Dr. G menjelaskan bahawa komplikasi dialami Fatin tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pembedahan yang dijalankan.
Advertisement
@drgafoor Uish.. Tiba-tiba tiktok DrG dok bnyk notifications ni. Mesti hampa dok tunggukan penjelasan Dr. G tentang isu ITU kann. Ni Dr.G explain details pasal isu ITU. #fyp #ingatqurusingatdrg #ohbulan ♬ original sound - Dr Gafoor (CEO of OK)
“Saya ingin memberi penerangan apa yang berlaku. Ada seorang pesakit datang jumpa saya untuk buat bariatrik.
“Kita buat pembedahan, dan selepas tiga minggu keadaannya okay saja.
“Tiba-tiba kami dapat berita dia masuk ke hospital sebab kurang air dan mendapat jangkitan kuman.
“Saya nak tekankan beberapa perkara di sini, komplikasi yang dialami tiada kena mengena dengan bariatrik.
“Kedua, perkara yang menjadi pertelingkahan adalah isu keluarga, bukan isu perubatan,” katanya.
Tambah Dr. G, pesakit juga dinasihatkan agar sentiasa berhubung dengan pihak klinik dan pakar pemakanan selepas menjalani pembedahan.
“Pastikan anda banyak berinteraksi dengan admin dan dietitian. Info terbaru yang saya dapat, pesakit (Fatin Syazwani) dibenarkan pulang ke rumah selepas sehari dua mendapatkan rawatan susulan.
“Saya rasa dia akan kurus dengan banyak dan sihat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Prince Syed turut meninggalkan komen pada hantaran berkenaan dengan menzahirkan penghargaan terhadap Dr. G yang telah menjalankan prosedur tersebut dengan baik.
Terdahulu, ibu mentua kepada Prince Syed mendakwa menantunya itu melarikan anak perempuannya dan menghalang keluarga daripada berjumpa.
Dalam satu video lain yang tular, wanita itu turut mendakwa anaknya kini tidak sihat selepas menjalani pembedahan bariatrik yang dikatakan dibuat atas desakan Prince Syed.
Beberapa hantaran di media sosial turut mendakwa Fatin mengalami komplikasi serius termasuk dehidrasi teruk dan hampir lumpuh sebelum dibawa ke Hospital UiTM Puncak Alam.
Namun, Prince Syed menafikan semua tuduhan berkenaan, manakala Fatin sendiri tampil menjelaskan bahawa suaminya tidak pernah memaksanya menjalani pembedahan tersebut semata-mata untuk menjual produk pelangsingan seperti yang tersebar.
Sebelum ini, empat individu termasuk ibu bapa dan dua adik-beradik Fatin pernah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden perselisihan faham dengan Prince Syed, namun kesemua mereka telah dibebaskan dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.