Sekilas
- Dr. Afifah Hidayah, bekas isteri penyanyi Nubhan, telah berpindah ke rumah sewa baharu bersama anak-anak dan sedang mengemas rumah tersebut.
- Beliau memohon bantuan orang ramai untuk mendapatkan barang preloved seperti meja makeup, permaidani, dan perabot lain bagi melengkapkan rumahnya.
- Dr. Afifah juga membuat laporan polis berhubung kehilangan barangan peribadi dan wang tunai, selepas pengesahan lafaz cerai kedua dengan Nubhan pada Ogos lalu.
Bekas isteri kepada penyanyi, Nubhan iaitu Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek berkongsi keadaan terkininya yang sudah pun berpindah ke sebuah rumah baharu bersama anak-anak.
Menerusi ciapan di Threads, Dr. Afifah yang lebih mesra disapa Dr. Fie memaklumkan dia juga kini sedang sibuk mengemas rumah baharunya itu.
“Saya baru saja berpindah ke rumah sewa baharu dan sedang perlahan-lahan untuk melengkap rumah dengan segala barang kelengkapan.
“Kalau ada yang mempunyai barang ‘preloved’ seperti meja makeup, permaidani, televisyen, kerusi, meja makan dan sebagainya boleh maklumkan pada saya ya,” ujarnya.
Menerusi perkongsian yang sama, Dr. Fie turut berterima kasih kepada orang ramai yang memberikan kata semangat buatnya untuk membina kekuatan.
“Ada yang nasihat, minta saya jadi kuat dan bina harta sendiri. Terima kasih, saya perlahan-lahan kayuh,” kongsinya.
Sementara itu, tular satu video memaparkan Dr. Fie yang kini giat mempromosikan sebuah jenama kambing perap terkenal sambil melengkapkan rumah sewanya dengan beberapa kelengkapan.
“Orang pertama yang mencemar duli rumah baharu,” kongsinya.
Sebelum ini, media melaporkan Afifah atau dikenali sebagai Dr Fie telah membuat laporan polis berhubung isu barangan peribadinya dipindahkan keluar tanpa notis.
Perkara itu turut disahkan peguam syarie yang mewakili wanita terbabit, Datuk Akberdin Abdul Kadir, yang memaklumkan laporan tersebut turut membabitkan dakwaan kehilangan wang tunai serta barangan kemas.
Pada 2 Disember lalu, Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan Nubhan sah bercerai kali kedua dengan Afifah.
Lafaz cerai pertama dibuat pada 19 Januari 2017 sebelum pasangan itu rujuk pada 21 Januari 2017, manakala lafaz cerai kedua berlaku pada 26 Ogos lalu.
Nubhan memfailkan pengesahan dua lafaz cerai dan satu lafaz rujuk yang membabitkan kejadian pada 2017 dan 26 Ogos lalu.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6; serta Afzan Nayille, 3.
Sumber: Threads