Sekilas
- Dr Afifah Hidayah, bekas isteri Nubhan, bersyukur urusan pindah ke rumah baru bersama anak-anak dipermudahkan dengan bantuan pengikut media sosial sebelum anak-anak mula bersekolah pada 12 Januari.
- Walaupun kekurangan wang tunai, Dr Afifah menerima banyak bantuan barangan preloved untuk melengkapkan rumah dan turut bersyukur dapat memiliki kenderaan baru yang memudahkan urusan keluarga.
- Dia menganggap segala rezeki yang diterima berlaku tepat pada waktunya dan berharap anak-anak dapat bersekolah dengan baik sambil terus berusaha memberikan yang terbaik untuk mereka.
Bekas isteri kepada penyanyi, Nubhan iaitu Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek berasa bersyukur selepas urusannya untuk pindah ke rumah baharu bersama anak-anak dipermudah.
Menurut Dr Afifah yang mesra disapa Dr Fie, segala urusan itu dapat dilakukan dengan bantuan orang ramai termasuklah pengikutnya di media sosial sebelum persekolahan anak-anak bermula pada 12 Januari lalu.
“Alhamdulillah, ketika itu memang semuanya perlu dibuat dengan cepat kerana anak-anak akan mula bersekolah pada 12 Januari. Jadi saya perlukan penyelesaian yang pantas.
“Kami pula tidak mempunyai wang tunai yang banyak untuk melengkapkan rumah dalam masa singkat, termasuk persiapan untuk anak saya ke sekolah.
“Saya fikir tak mengapa jika semuanya bukan barangan baharu, asalkan boleh digunakan. Alhamdulillah, ramai juga pengikut saya di luar sana yang membantu dan memudahkan urusan saya,” katanya kepada Gempak.
Dr Fie berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada program Doa Dari Hati: Saat Jiwa Mencari Tenang, Tuhan Membuka Jalan di Premiera Hotel Kuala Lumpur pada Ahad.
Tambah Dr Fie, dia merasakan segala apa yang berlaku sejak kebelakangan ini disifatkan sebagai rezeki yang berlaku tepat pada waktu.
“Sejujurnya, kalau boleh saya tidak mahu menerima barang secara percuma. Saya lebih selesa untuk membayar, tetapi Allah memudahkan segalanya.
“Urusan mendapatkan rumah juga dipermudahkan. Biasanya mana ada orang boleh masuk rumah dalam sehari dua, tetapi tiba-tiba semuanya jadi sangat cepat, benar-benar saat akhir.
“Walaupun dalam tempoh yang singkat, rupanya semuanya boleh dilaksanakan,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, doktor gigi yang mempunyai tiga orang anak ini turut bersyukur apabila dapat memiliki kenderaan baharu yang sedikit sebanyak membantu memudahkan urusannya bersama anak-anak.
“Alhamdulillah, walaupun rumah masih dalam proses mengemas, anak-anak sudah selesa untuk ke sekolah.
“Allah juga mengurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka apabila saya menerima kereta baharu. Saya benar-benar bersyukur kerana semua itu di luar jangkaan.
“Bagi saya, apa yang paling penting anak-anak dapat bersekolah dengan baik dan saya mampu memberikan yang terbaik untuk mereka. Namun Allah beri lebih daripada yang diminta,” katanya.
Terdahulu, Dr Fie berkongsi bahawa dirinya sudah pin berpindah ke kediaman baharu bersama anak-anak sambil memohon jasa baik orang ramai yang mempunyai barangan ‘preloved’ (barangan terpakai) seperti meja solek, permaidani, televisyen, kerusi, meja makan dan sebagainya supaya memaklumkan kepada dirinya.