Sekilas
- Amai Kamarudin mula menceburi perniagaan batik pada 2018 berbekalkan minat dan kemahiran seni lukis sejak di sekolah.
- Beliau belajar teknik melukis batik melalui acara yang menghimpunkan pembatik dari dalam dan luar negara, serta berkongsi idea dengan penggiat seni lain.
- Kini, Amai memiliki tiga cawangan perniagaan dan sebuah kilang batik di Sepang, sambil mengajak masyarakat menyokong produk batik tempatan.
Pelakon, Amai Kamarudin tidak menyangka minatnya terhadap seni lukis sejak di bangku sekolah telah menjadi antara faktor dia menceburi dunia batik hingga mempunyai perniagaan sendiri pada hari ini.
Menurut Amai atau nama lengkapnya Kapten B (PA) Muhammad Kamal bin Kamarudin dia mula menceburi perniagaan batik pada 2018 kerana minatnya terhadap pakaian batik berwarna-warni.
“Saya mula buat bisnes batik pada tahun 2018 sebab aaya memang suka pakai baju batik dan baju yang berwarna-warni.
“Dan sebenarnya saya memang ada sedikit kemahiran dalam bidang seni lukis sebab masa di zaman sekolah dulu saya selalu juga diminta oleb cikgu untuk melukis di dinding sekolah.
“Saya juga ada masuk pertandingan melukis dan kebanyakkannya saya ada menang. Jadi dari situlah saya gunakan kemahiran yang ada untuk saya belajar mencanting serta melukis batik,” katanya ketika dihubungi Gempak.
Tambah Amai, bagi mendalami ilmu dalam bidang melukis batik, dia turut mengambil peluang menyertai sebuah acara batik hang menghimpunkan ramai pembatik dari dalam dan luar negara.
Menerusi acara itulah, Amai berpeluanh berkongsi idea serta mempelajari teknik untuk menghasilkan batik daripada penggiat seni lain.
“Dari situ saya kenal dengan kawan-kawan daripada Kelantan, Terengganu, dan beberapa lagi negeri yang buat produk batik.
Kita berkongsi idea dan sebagainya dan dari situlah saya belajar. Bila saya belajar, saya cuba melukis pada kain dan berhasil.
“Bila dah jadi formula tu, saya jadikan baju dan Alhamdulillah dapat sambutan,” katanya lagi.
Kini, selepas hampir lapan tahun mengusahakan bisnes batiknha sendiri, Amai sudah memiliki tiga lokasi perniagaan termasuk sebuah kilang pembuatan batik di Sepang.
“Setakat ini saya dah buka tiga cawangan. Satu di sebuah pusat beli belah di Bukit Jalil dan satu di Damansara.
“Saya kuga ada kilang pembuatan batik di Sepang, Selangor,” kongsinya.
Bercakap mengenai misi dan visinya, Amai berharap agar orang ramai dapat terus memberikan sokongan buat produk batik tempatan, khususnya hasil buatan tangan yang dihasilkan rakyat Malaysia.
“Saya berharap agar masyarakat kat luar sana dapat beri sokongan buat produk batik keluaran saya serta mana-mana buatan batik keluaran Malaysia,” ujarnya.
Terdahulu, tular video Amai menghasilkan sendiri baju batik dari proses melukis hingga mewarna sebelum perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai dan dikongsi beribu-ribu kali di media sosial.