Sekilas
- ANAS Cosmetics milik Anas Zahrin kini menduduki tangga teratas TikTok Shop Malaysia dengan jualan hampir 12 juta unit sejak penubuhannya pada 2017.
- Anas berjaya membuktikan potensi TikTok sebagai platform perniagaan walaupun pernah menghadapi pandangan sinis, termasuk mencatat jualan RM1 juta dalam satu sesi siaran langsung.
- Selain pencapaian jualan, ANAS Cosmetics turut meraih beberapa pengiktirafan TikTok Shop dan Anas dilantik sebagai mentor untuk program TikTok Shop Creator Icon musim kedua.
Usahawan dan pempengaruh, Anas Zahrin meluahkan rasa syukur apabila jenama miliknya, ANAS Cosmetics dilaporkan menduduki tangga teratas TikTok Shop Malaysia dengan jualan hampir 12 juta unit.
Menurut Anas, pencapaian tersebut cukup bermakna selepas hampir sedekad membangunkan jenama kosmetik dan penjagaan diri yang diasaskannya sejak 2017.
Menerusi laporan platform analitik e-dagang, EchoTik Blog bertarikh 8 Julai lalu, ANAS Cosmetics dilaporkan berada pada kedudukan pertama dalam senarai jualan TikTok Shop Malaysia.
“Setiap hari saya tak pernah putus doa mengharapkan perjalanan perniagaan kosmetik dan penjagaan peribadi saya terus memberi manfaat kepada ramai orang.
“Ternyata, di sebalik keadaan ekonomi tidak menentu dan persaingan jualan pelbagai produk di TikTok, barangan kosmetik keluaran saya masih menjadi pilihan ramai.
“Menjadi yang pertama di TikTok Shop bukan tiket untuk saya mendabik dada. Sebaliknya, pencapaian itu menjadi kayu pengukur bahawa produk keluaran tempatan atau Bumiputera juga mampu diterima ramai.
“Kita boleh bangga dengan produk keluaran anak tempatan. Jika jenama terkenal luar negara boleh berjaya, kita juga boleh mengikut jejak langkah sama atau menjadi lebih baik daripada mereka,” katanya.
Dalam pada itu, anak kelahiran Kota Tinggi, Johor tersebut mengakui pernah berdepan pandangan sinis ketika mula menggunakan TikTok sebagai platform perniagaan.

Bagaimanapun, dia berjaya membuktikan potensi platform berkenaan apabila mendakwa pernah mencatat jualan bernilai RM1 juta menerusi satu sesi penstriman langsung.
“Dulu pada awalnya tiada siapa yang percaya, malah ada yang sinis dan ketawa memandang rendah apabila saya jadikan platform TikTok untuk berniaga.
“Akhirnya, saya berjaya buktikan platform ini juga boleh menjadi medan mencari rezeki untuk dikongsi dengan semua pihak,” ujarnya.
Selain pencapaian jualan tersebut, ANAS Cosmetics turut meraih pengiktirafan dalam tiga kategori TikTok Shop pada April lalu, termasuk Top 1 Pencipta Kandungan, Top 1 Penjual Tempatan dan Top 3 Penjual bagi kategori kecantikan, kesihatan serta penjagaan peribadi.

“Alhamdulillah, saban tahun saya menerima pengiktirafan daripada TikTok. Usaha tidak pernah mengkhianati hasil. Ungkapan itu sentiasa menjadi pegangan saya.
“Setiap hari menjadi penanda baharu dan motivasi untuk terus maju ke hadapan,” katanya.

Anas yang pernah memenangi anugerah TikTok Shop Creator of The Year pada 2023 turut menyifatkan doa ibunya, Hajjah Hamida Dan sebagai antara kekuatan terbesar di sebalik kejayaannya.
“Selain doa mak dan keluarga, sahabat tersayang serta staf juga menjadi individu yang tidak pernah jemu menyokong perniagaan saya.
“Doakan saya terus melakar sejarah dan terbang lebih tinggi. Doakan saya dikelilingi orang yang baik supaya boleh berkongsi rezeki dengan lebih ramai insan.
“Bukan saya yang hebat, tetapi doa mustajab mak yang tak pernah penat dipanjatkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anas turut berkongsi mengenai pelantikannya sebagai mentor bagi program TikTok Shop Creator Icon musim kedua.
Menurutnya, usahawan terkenal Khairul Aming turut terlibat sebagai mentor, manakala Datuk Seri Aliff Syukri antara individu yang diundang untuk berkongsi pengalaman dalam bidang perniagaan.

Sementara itu, Anas turut berangkat ke Tanah Suci Makkah bagi menunaikan ibadah umrah.