Sekilas
- Filem seram berasaskan ilmu hitam dan kisah nyata seperti Pengantin Setan, The Exorcism of Emily Rose, dan filem ritual Thailand mendapat sambutan kerana mengangkat kepercayaan budaya dan kejadian sebenar.
- Pengantin Setan memaparkan legenda rakyat Indonesia tentang pasangan pengantin yang terkena sumpahan dan gangguan makhluk halus, manakala The Exorcism of Emily Rose berdasarkan kisah kerasukan sebenar di Jerman.
- Filem Thailand seperti The Medium menonjolkan ritual bomoh dan eksorsisme asli, menunjukkan seram yang berakar dari budaya dan kepercayaan masyarakat tempatan.
Pada saat filem Malam Terlarang mencecah kutip RM10 juta sejak ditayangkan kerana penonton terkesima dengan naratif kisah bersifat ilmu hitam yang jarang dipaparkan, jangan terlupa, peminat juga pernah ‘dikejutkan' dengan beberapa naskhah yang diilhamkan daripada kisah benar sehingga mendapat kutipan yang baik.

Dari kesekian banyak filem seram dan diinspirasikan daripada kisah nyata termasuk penggunaan ilmu hitam, terdapat tiga (3) filem dengan genre sama yang tidak kurang mendapat sambutan.
Berikut tiga kisah seram berasaskan ilmu hitam yang diadaptasi daripada kisah sebenar.
Pengantin Setan – Kisah Nyata di Balik Layar
Pengantin Setan bukan sekadar cerita seram biasa. Filem ini diangkat dari legenda rakyat Indonesia dan beberapa insiden nyata yang dipercayai berlaku di kampung-kampung tertentu.
Cerita berkisar tentang pasangan pengantin yang terperangkap dalam sumpahan dan gangguan makhluk halus setelah menikah, di mana roh jahat atau “setan” menganggu kehidupan mereka.
Apa yang membuat filem ini menyeramkan kerana Pengantin Setan yang dibintangi Erika Carlina, Emir Mahira, Ruth Marini, Wavi Zihan dilihat mempunyai banyak kisah mirip denga rakyat setempat.

Filem yang ditayangkan di Netflix pada tahun 2025 ini bukan sekadar jump scare; ia memaparkan kepercayaan budaya Indonesia terhadap roh dan sumpahan, membuat penonton merasa seram kerana ini dianggap nyata oleh masyarakat setempat.
The Exorcism of Emily Rose – Kisah Kerasukan Sejati di Jerman
Filem ini diadaptasi daripada kisah nyata Anneliese Michel, seorang gadis Jerman yang meninggal pada 1976 selepas menjalani 67 sesi eksorsisme.
Michel antaranya didawa diganggu enititi yang dipercayai iblis - meronta, menjerit dan bercakap dengan suara bukan miliknya.
Doktor mendiagnosis epilepsi, tetapi keluarganya percaya ini adalah gangguan supranatural atau sihir. Perbicaraan mahkamah antara keluarga dan paderi serta pihak perubatan menjadi inspirasi utama filem.
Berbeza daripada horor biasa, filem ini menekankan dilema sains menentang rohani, membuat penonton tertanya-tanya; sakit mental, kerasukan, atau kedua-duanya?
The Exorcism of Emily Rose yang ditayangkan pada 2005 telah menjadi salah sebuah filem pecah panggung di Hollywood.

Filem Seram Thailand – Ritual & Legenda Nyata
Thailand terkenal dengan filem seram yang menggabungkan ritual sebenar, shaman (bomoh) dan legenda rakyat.
Antara filem yang diangkat berdasarkan ritual bomoh wanita di Isan, utara Thailand adalah The Medium pada tahun 2021. Ia menampilkan ritual tarian roh dan eksorsisme tradisional.
Filem ini hampir seperti dokumentari kerana ritual yang ditunjukkan adalah asli, bukan rekaan semata-mata.
Dari Pengantin Setan hingga The Exorcism of Emily Rose dan filem ritual Thailand, semua kisah ini membuktikan seram yang paling menakutkan adalah yang berakar dari kenyataan, kepercayaan dan budaya masyarakat.
Bukan sekadar jump scare tetapi ini adalah pertemuan antara manusia, roh dan ritual yang benar-benar wujud, memperlihatkan setiap budaya punya caranya sendiri untuk menangani dunia ghaib.
