Sekilas
- Elisya Sandha menyokong sikap disiplin dan ketepatan masa kakaknya, Fasha Sandha, dalam industri seni terutama berkaitan komitmen produksi.
- Elisya menegaskan pentingnya menghormati masa orang lain dan berkongsi pengalamannya menegur pelakon yang selalu lewat secara peribadi.
- Dia juga menegaskan bahawa menghormati masa kru dan pengarah adalah penting kerana kelewatan boleh menjejaskan keseluruhan produksi.
Pelakon, Elisya Sandha menyokong pendirian kakaknya, aktres Fasha Sandha yang sentiasa menitikberatkan disiplin dan ketepatan masa, lebih-lebih lagi apabila melibatkan komitmen seluruh pasukan produksi.
Menurut Elisya, sikap menghormati masa orang lain adalah perkara asas yang perlu dipegang oleh setiap individu dalam industri seni.
“Saya rasa apa yang kakak saya buat itu adalah benda yang betul sebab kita perlu hormat masa orang lain.
“Kita tidak boleh sesuka hati datang jam 10 pagi kalau jadual panggilan penggambaran ‘call time’ pukul 8 pagi. Itu sangat kurang ajar.
“Apa yang saya belajar dengan kakak saya selama ini ialah kita perlu sentiasa menjaga ‘call time’,” tegasnya.
Elisya berkata demikian ketika ditemui di sidang media IQIYI drama terbaharunya Madu atau Racun di A Quiet Place, Bukit Bintang pada Selasa.
Mengulas mengenai perkara itu, Elisya berkongsi bahawa dirinya juga pernah berdepan dengan pelakon yang sering datang lewat ke set penggambaran.
Menurut Elisya, dia lebih memilih untuk menegur pelakon berkenaan secara peribadi dan berbincang mengenai masalah yang dihadapi sehingga menyebabkan mereka tiba lewat di set penggambaran.
“Saya pernah lalui benda itu banyak kali, cuma saya rasa suara saya belum cukup kuat untuk bersuara di media sosial.
“Jadi, kalau orang itu selalu sangat lambat, saya akan pergi kepada dia secara peribadi dan bertanya kenapa dia lambat.
“Mereka akan jelaskan masalah yang dihadapi seperti ada urusan di rumah dan saya cuba untuk faham serta berbincang.
“Namun, untuk kes kakak saya, dia keluarkan ke media sosial kerana mungkin dia sudah tegur tetapi tidak menjadi.
“Saya juga ada karakter seperti kakak saya yang akan mengamuk dan bising di set kalau terpaksa menunggu lama.
“Tetapi orang faham kenapa saya begitu kerana saya menghormati masa mereka, jadi orang pun menghormati masa saya,” jelasnya.
Bagaimanapun, Elisya berkata tidak semua pelakon boleh menerima teguran yang diberikan.
“Selepas ditegur, ada setengah pelakon terus memandang saya dari atas ke bawah seolah-olah mempersoalkan siapa saya untuk menegur mereka.
“Namun, ada juga pelakon yang menjelaskan masalah mereka dengan baik.
“Bagi saya, dua-dua situasi itu saya terima dengan terbuka. Paling penting, saya sudah menyuarakan bahawa perbuatan datang lambat ke set itu adalah salah.
“Kita kena hormat masa pengarah dan barisan kru, bukan pelakon sahaja. Kasihan kepada kru yang sebenarnya paling tidak cukup tidur dan perlu mengemas barang selepas penggambaran selesai,” ujarnya.
Terdahulu, Fasha meluahkan rasa kesal terhadap seorang pelakon yang didakwa gagal menepati masa ke set penggambaran sehingga menjejaskan keseluruhan produksi.