Sekilas
- Fiesta Tun Teja MTSP Pahang 2026 akan berlangsung dari 6 hingga 8 November di Dataran Temerloh dengan pelbagai aktiviti menarik yang mengangkat budaya dan warisan negeri.
- Acara ini turut menampilkan pameran warisan, aktiviti sukaneka, Tun Teja Run, serta peluang untuk bakat tempatan menunjukkan kreativiti mereka dalam bidang solekan.
- Pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah menarik dan menikmati persembahan artis popular seperti Ella, Haqiem Rusli, Khai Bahar, dan lain-lain.
Fiesta Tun Teja MTSP Pahang 2026 bakal berlangsung selama tiga hari, bermula 6 hingga 8 November 2026 di Dataran Temerloh, Pahang.
Penganjuran julung kali ini bertujuan mengangkat budaya dan warisan negeri. Fiesta ini turut membawa mesej kekuatan, semangat, kepimpinan dan kesetiaan dalam kalangan masyarakat.
Dianjurkan di bawah Apresiasi Pahang 1st, acara ini menyasarkan penyertaan semua lapisan masyarakat. Pelbagai aktiviti menarik disediakan bagi mengeratkan hubungan komuniti serta menyemarakkan rasa bangga terhadap warisan negeri.
Menurut Pengarah program, Nurul Aslina Saman, fiesta ini bukan sekadar platform hiburan sebaliknya menjadi ruang untuk masyarakat mengenali dan menghargai warisan serta budaya Pahang.
“Fiesta Tun Teja membawa mesej yang cukup bermakna tentang kekuatan, semangat, kepimpinan dan kesetiaan. Kami mahu nilai-nilai ini terus subur dalam masyarakat khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Kami menjemput seluruh rakyat Pahang dan pengunjung dari luar negeri untuk hadir beramai-ramai. Ayuh bersama-sama memeriahkan Fiesta Tun Teja, meraikan warisan dan mencipta kenangan indah bersama keluarga serta sahabat,” katanya yang juga merupakan yang juga Naib Pengerusi Majlis Tindakan Sosial Pahang II.
Bakal dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail, pelbagai tarikan utama termasuklah pameran warisan yang mengetengahkan khazanah budaya negeri bakal dipamerkan.

Pengunjung juga boleh menyertai Tun Teja Run dan pelbagai aktiviti sukaneka yang sesuai untuk seisi keluarga.
Fiesta ini turut memberi ruang kepada bakat tempatan menerusi aktiviti solekan bersama jurusolek profesional (MUA) anak Pahang. Inisiatif ini secara tidak langsung mengetengahkan kreativiti dan kebolehan anak tempatan.
Lebih menarik, pengunjung berpeluang memenangi pelbagai hadiah menerusi cabutan bertuah. Antara hadiah yang ditawarkan termasuk kereta, motosikal, basikal dan barangan elektrik, tertakluk pada terma dan syarat penganjur.
Suasana fiesta dijangka lebih meriah dengan persembahan artis popular tanah air termasuklah Ella, Haqiem Rusli, Khai Bahar, Tomok, Siti Nordiana dan Ameng Spring selain kemunculan beberapa artis lain.

Kepelbagaian aktiviti yang disediakan menjadikan fiesta ini sebuah acara yang menggabungkan warisan, hiburan dan rekreasi. Ia turut membuka peluang kepada masyarakat untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
Orang ramai dijemput hadir ke Dataran Temerloh bagi memeriahkan Fiesta Tun Teja MTSP Pahang 2026. Bersama-sama kita menghayati warisan, menyokong bakat tempatan dan menyemarakkan semangat kebersamaan demi negeri Pahang.
