Ratu Rock negara, Ella enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan kononnya rumah tangga anak saudaranya yang juga penyanyi Kaka Azraff kembali bergolak.
Menurut Ella atau nama Nor Zila Aminuddin, 57, isu berkenaan terlalu peribadi untuk diulas dan hanya layak dijelaskan oleh tuan empunya badan.
Advertisement
“Benda itu begitu peribadi kerana melibatkan rumah tangganya. Kami tidak boleh masuk campur.
“Sebagai keluarga kita berikan sokongan padu kepadanya,” ujarnya.
Ella berkata demikian ketika ditemui semasa majlis sidang media AirAsia Hausboom Festival 2025 bertempat di AirAsia RedQ pada Rabu.
Bagaimanapun, Ella percaya bahawa Kaka sudah matang untuk membuat segala keputusan yang terbaik bagi masa depannya.
“Harapnya semua akan baik-baik sahaja. Terpulang kepada Kaka sebab dia pun sudah matang. Kita doakan sama-sama,” tambahnya.
Sebelum ini, timbul khabar angin kononnya perkahwinan Kaka Azraff dan suaminya, Adam Azriff kembali bergolak.
Terdahulu Kaka dan Adam sah bercerai talak satu secara ekspres di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, pada 28 Oktober lalu.
Bagaimanapun, pasangan itu dilaporkan kembali rujuk ketika dalam tempoh idah selain dilihat memuat naik gambar bersama ketika menghadiri acara fesyen.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aslan, 6, dan Aryan, 4 dan Atta Adam yang kini berusia setahun.