Sekilas
- Ella mengakui mempunyai hasrat untuk merakam lagu raya baharu tetapi masih belum berkesempatan kerana kekangan masa dan komitmen konsert.
- Dia lebih gemar lagu raya lama kerana melodi dan liriknya dianggap lebih syahdu dan bermakna.
- Ella tidak menolak kemungkinan untuk merakam lagu raya baharu jika bertemu karya yang sesuai dengan jiwanya pada masa akan datang.
Ratu Rock tanah air, Ella, mengakui dirinya mempunyai hasrat untuk merakamkan lagu rayu baharu namun impian tersebut masih belum dapat direalisasikan.
Menurut Ella atau nama lengkapnya Nor Zila Aminuddin, keinginan untuk merakamkan lagu raya baharu sememangnya ada, namun kekangan masa serta komitmen terhadap beberapa projek seni yang membuatkan perancangan itu masih tertangguh.
"Saya memang ada satu sahaja lagu raya setakat ini. Sebenarnya kami ada merancang untuk keluarkan lagu raya baharu, tetapi belum ada kesempatan untuk merakamkannya kerana sekarang saya banyak memberi tumpuan kepada konsert.
"Saya memang suka lagu raya dan gemar mendengarnya, tetapi saya lebih cenderung kepada lagu raya lama kerana bagi saya ia lebih syahdu," katanya kepada Gempak.
Ella berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada Majlis Jalinan Kasih Bersama Persatuan Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Ibu Tunggal Hajah Kamariah di The Saujana Hotel, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Ella tidak menolak kemungkinan untuk kembali merakamkan lagu raya sekiranya bertemu karya yang benar-benar sesuai dengan jiwanya.
"Kalau ada lagu yang sesuai dan saya rasa serasi, tidak mustahil untuk saya rakamkan lagu raya lagi pada masa akan datang," katanya.
Ditanya mengenai karya lagu raya baharu yang mendapat respons pelbagai daripada pendengar, pelantun lagu Retak ini berpendapat bahawa lagu raya klasik masih menjadi pilihan pendengar kerana mempunyai keistimewaan yang tersendiri.
"Bukanlah saya mahu membandingkan, tetapi melodi lagu raya lama lebih 'berasa' dan syahdu. Dari segi melodi dan lirik juga lebih kuat.
"Jadi ada juga peminat yang bertanya bila saya akan keluarkan lagu raya lagi, tetapi setakat ini belum ada perancangan khusus," katanya.