Penyanyi, Elly Mazlein menegur sikap segelintir pihak yang tidak habis-habis mencari silap mengenai usaha murni sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Palestin.
Menurut Elly, keberanian yang dimiliki sukarelawan GSF bersama misi yang cukup besar itu seharusnya menjadi contoh kepada semua orang.
Advertisement
“Terima kasih kepada pejuang Sumud Flotilla kerana keberanian anda, jadi saya juga mohon di sini hentikan kata-kata yang bukan-bukan kepada mereka.
“Usaha mereka itu cukup baik. Mengapa mesti kita mematahkan semangat mereka atau pun keluarkan kata-kata yang tidak cerdik.
“Tak payahlah nak persoalkan itu dan ini. Daripada kita sibuk mempersoalkan, lebih baik kita doakan untuk mereka yang berjuang demi Sumud Flotilla,” tegasnya.
Elly berkata demikian ketika ditemui selepas selesai program realiti Kilauan Emas 2025 yang berlangsung di Royale Theatre, Shah Alam, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Elly juga mengakui segala apa yang berlaku kepada sukarelawan GSF meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya.
“Pada saya mereka memamg sangat hebat dan tak semua orang mampu buat seperti mana yang mereka lakukan.
“Mereka adalah wakil kita di Malaysia, apa yang mereka buat itu sangat luar biasa, sangat berani. Mereka buat demi untuk anak-anak di Gaza.
“Usaha sangat hebat walaupun kita tahu memang agak susah untuk menembusi ke sana tetapi mereka cuba.
“Sebab kalau kita tak susah memang benda tak jadi. Apa apa pun mereka usahan dulu, memamg sangat hebat…
“Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih lepada rakyat Malaysia, kita doakan yang baik baik,” ujarnya.
Terdahulu, penampilan Elly yang tampil berhijab ketika mengacarakan pentas akhir Kilauan Emas 2025 pada malam Sabtu mencuri perhatian ramai.
Bagaimanapun, Elly mengesahkan dirinya kini memilih untuk berhijab sepenuhnya dan keputusan tersebut lahir daripada keikhlasan hati tanpa sebarang paksaan selepas merasai satu titik perubahan dalam dirinya susulan mengikuti perkembangan misi kemanusiaan GSF ke Gaza baru-baru ini.
Perubahan baharu itu juga membuat netizen gembira dan rata-ratanya memuji kecantikan Elly selain mendoakan agar dirinya kekal istiqamah selepas memilih untuk berhijab.