Skip to main content

Hiburan

Emosi Akan Terganggu, Syamel Akui Belum ‘Kuat’ Dendang Lagu ‘Bila Kau Tiada’ - “Lagu Itu Saya Tulis Selepas Pemergian Umi…”

Syamel

Sekilas

  • Syamel mengakui belum mampu menyanyikan lagu Bila Kau Tiada secara langsung kerana bimbang emosi terganggu mengenangkan arwah ibunya.
  • Lagu tersebut dicipta khas untuk arwah ibunya dan hanya pernah dipersembahkan sekali pada konsert bersama Ernie Zakri pada 2022.
  • Album sulung Syamel, Pertama, mengandungi enam lagu yang banyak terinspirasi oleh kenangan dan sokongan arwah ibunya sepanjang perjalanan muziknya.
Advertisement

Penyanyi, Syamel mengakui masih belum mempunyai kekuatan untuk menyampaikan lagu Bila Kau Tiada secara langsung di hadapan penonton kerana bimbang gagal mengawal emosi ketika mendendangkan lagu tersebut.

Ujar Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, dia bimbang tidak dapat mengawal emosinya kerana mengenangkan arwah ibunya, Allahyarham Wan Faaizah Karim.

Advertisement

Menurut Syamel, lagu tersebut dihasilkan khas buat arwah dan hanya pernah dipersembahkan sekali iaitu ketika Konsert Syamel dan Ernie Zakri: Aku Cinta pada 2022.

“Lagu itu saya tulis selepas pemergian umi pada 2021 dan memang didedikasikan khas untuk arwah. Saya hanya pernah menyanyikannya sekali sahaja ketika konsert bersama Ernie hampir lima tahun lalu. Itulah kali pertama dan juga kali terakhir.

“Sehingga kini saya masih belum mampu menyanyikan lagu itu secara langsung kerana emosi saya pasti terganggu apabila teringatkan umi,” katanya kepada Gempak.

Syamel berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis pra-dengar eksklusif dan pelancaran album sulungnya, Pertama pada Rabu.

Dalam pada itu, penyanyi berusia 32 tahun itu turut meluahkan rasa pilu apabila arwah ibunya tidak sempat menyaksikan impiannya melancarkan album sulung selepas sedekad berada dalam industri muzik.

Kata Syamel, ingatan terhadap arwah ibunya sentiasa hadir sepanjang proses menyiapkan enam buah lagu yang dimuatkan dalam album tersebut lebih-lebih lagi ketika merakamkan lagu yang berjudul Dalam Kenangan.

“Sudah tentu saya teringatkan arwah umi kerana dialah insan yang paling rapat dengan saya. Bukan hanya lagu Dalam Kenangan, malah semua lagu dalam album ini sentiasa mengingatkan saya kepada umi, termasuk Aku Bukan Dia, Pertama dan juga lagu rancak.

“Saya sedih kerana umi tidak berkesempatan mendengar lagu-lagu dan album pertama saya. Jika bukan kerana sokongan dan dorongan umi, mungkin saya tidak berada di tahap ini. Umi adalah insan yang menggalakkan saya menceburi bidang nyanyian.

“Jadi segala rintihan yang disampaikan dalam setiap lagu di dalam album ini datang daripada kesedihan yang benar-benar saya lalui.

“Apabila merakamkan sesebuah lagu, kita perlu berada dalam emosi itu supaya pendengar dapat merasai dan menghayatinya. Sejujurnya, proses itu bukan mudah kerana ia sangat berbeza berbanding membuat persembahan secara langsung,” katanya lagi.

Selain Dalam Kenangan, album Pertama turut menampilkan lagu Aku Bukan Dia, Beribu Tanda Tanya, Tunjukkan Ku Bahagia dan Cukuplah Sekali.

Menariknya, lagu Dalam Kenangan dan Beribu Tanda Tanya dirakamkan di Manchester bersama komposer, Edry Abdul Halim.

Anda mungkin berminat dengan

GJ Jewellery Emas Korea Emas Bangkok 24K Woman Anklet Daun/Jubin Sliver Gold/Gila-gila Love (26cm-27cm) GA-8

GJ Jewellery Emas Korea Emas Bangkok 24K Woman Anklet Daun/Jubin Sliver Gold/Gila-gila Love (26cm-27cm) GA-8

[NEW] Tracey Easy Off-Trail Card Holder With Lanyard Dompet Kad Wanita

[NEW] Tracey Easy Off-Trail Card Holder With Lanyard Dompet Kad Wanita

[REJURAN] Turnover Mask 5 Sheets | Hydration, Skin Renewal, Soothing, Glow

[REJURAN] Turnover Mask 5 Sheets | Hydration, Skin Renewal, Soothing, Glow

1pcs random Sonny Angel HIPPERS - Harvest Series Mini Figure Blind box Cute Hippers decoration Line up?12 types

1pcs random Sonny Angel HIPPERS - Harvest Series Mini Figure Blind box Cute Hippers decoration Line up?12 types

Popia Udang Gulung Dapur Ummi

Popia Udang Gulung Dapur Ummi

Must Watch Video

Advertisement