Sekilas
- Ina Naim mengakui episod putus tunang dengan Mawi merupakan titik terendah dalam hidupnya yang penuh dengan kecaman netizen.
- Dia menganggap ujian itu sebagai satu cara Allah mengampunkan dosa dan menguatkan imannya walaupun pada usia muda.
- Selepas perpisahan, Ina berkahwin dengan Suhaimi Saad dan kini sudah berkahwin dengan jurutera Mohd. Khairul Rizal.
Ibu kepada penyanyi Hadie Elfardie iaitu Ina Naim mengakui episod putus tunang merupakan titik terendah dalam hidupnya.
Mengimbau kembali peristiwa itu, Ina atau Nordiana Mohd. Naim, berkata, dia terpaksa berdepan dengan pelbagai kecaman yang menganggap dirinya menjadi punca perpisahan itu.
“Titik terendah itu, tak ada yang tinggi… semua rendah la. Masa putus tunang la kot sebab kesilapan itu bukan daripada kita.
“Tapi bila netizen mengatakan kita yang berlebih-lebih tu, kak Ina tak ada siapa melainkan Allah. Kak Ina mengadu.
“Kak Ina cakap ‘Kau yang Maha Kaya Ya Allah, Kau tunjukkan kepada orang bahawasannya aku ini bukanlah buat kesilapan itu dan bukan aku sebenarnya’.
“Kak Ina minta ‘Kau tunjukkanlah pada orang yang selalu mengkritik, menganggap punca-puncanya daripada kita,” kongsinya menerusi podcast Buka Mulut.
Menurut Ina, usianya yang ketika itu baru 22 tahun menyebabkan dia belum cukup matang untuk menghadapi ujian namun reda dan akur dengan dugaan tersebut.
“Pada itu pun iman tak berapa kuat. Muda lagi. Itu adalah satu ujian tapi Kak Ina selalu ambil secara positif la. Ini semua apa yang berlaku disebabkan dosa-dosa kita.
“Sebenarnya Allah nak ampunkan dosa kita. Kita kembali semula kepada Allah, benda itu jadi tenang,” ujarnya lagi.
Kisah percintaan Ina dan Mawi pernah menjadi tumpuan umum pada 2005 selepas penyanyi itu meraih populariti mendadak dalam industri hiburan. Namun, pertunangan mereka berakhir pada Julai 2006.
Dalam program Mawi…Ina terbitan RTM suatu ketika dahulu, pasangan itu dipertemukan semula buat pertama kali selepas perpisahan dan Ina mengakui wujudnya campur tangan pihak ketiga, namun enggan mengulas lanjut demi menjaga aib.
Mawi, yang ketika itu berusia 25 tahun, tidak menafikan hal tersebut, tetapi menjelaskan tekanan kehidupan serta kesibukan kerjaya turut menjadi faktor mereka berpisah.
Pada 2007, Ina mengikat tali pertunangan dan seterusnya mendirikan rumah tangga dengan bekas anggota kumpulan In-Team, Suhaimi Saad, secara tertutup. Suhaimi meninggal dunia pada November 2023.
Ina kemudiannya bertemu jodoh dengan seorang jurutera, Mohd. Khairul Rizal, dan pasangan itu selamat diijabkabulkan tahun lalu.