Pelakon Erysha Emyra meluahkan rasa bimbang terhadap peningkatan kes buli dan jenayah yang berlaku di sekolah, termasuk kes-kes berat yang tular kebelakangan ini.
Menurut Erysha, sebagai kakak yang masih mempunyai adik berusia sembilan tahun, dia sendiri berasa gusar dengan keadaan semasa yang semakin membimbangkan.
Advertisement
“Sebenarnya, saya pun risau juga sebab saya masih ada adik-beradik yang kecil. Kadang-kadang rasa takut juga bila tengok berita tentang kes buli atau jenayah yang berlaku di sekolah,” katanya.
Bagaimanapun, pelakon Drama Rumah Tanpa Luka itu berpendapat didikan di rumah memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah anak-anak agar mampu membezakan antara perkara betul dan salah.
“Kalau dibesarkan dengan baik, mereka boleh jaga diri sendiri. Kadang-kadang cerita di TV atau media sosial ada sisi baik dan buruk.
“Kalau kita tengok dari sudut positif, ia boleh jadi pengajaran. Tapi untuk anak-anak, tetap kena ada pengawasan,” ujarnya.
Jelas Erysha lagi, ibu bapa atau orang dewasa perlu menjelaskan mesej sebenar di sebalik kandungan media agar anak-anak tidak mudah terpengaruh.
“Kita kena terangkan pada mereka bahawa walaupun benda tu ditunjukkan di TV, tapi sebenarnya ia salah.
“Anak-anak perlu tahu mesej di sebalik sesuatu cerita, kalau buat begini, kesannya begini.”jelasnya.
Dalam masa sama, Erysha mengakui dia sendiri sering menasihati adik-adiknya tentang cara berdepan dengan konflik dan tekanan sosial di sekolah.
“Saya suka bila mereka belajar untuk berdikari dan cari diri sendiri. Saya selalu pesan, kalau ada masalah dengan kawan, jangan terus salahkan orang lain.
“Cuba tanya diri sendiri juga, adakah kita ada buat silap atau cakap sesuatu yang menyakitkan hati orang lain. Selalu ada dua sisi pada setiap cerita,” katanya.
Sebelum ini, Malaysia digemparkan dengan beberapa kes jenayah serius di sekolah, termasuk insiden rogol dan bunuh melibatkan pelajar yang mencetuskan kebimbangan ramai pihak terhadap tahap keselamatan dan moral pelajar masa kini.
Dalam perkembangan lain, Erysha kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri Satu Dua… Dia? arahan Datuk Yusry Abdul Halim yang bakal ditayangkan di platform penstriman digital Viu mulai 23 Oktober ini.
Selain Erysha, drama tersebut turut menampilkan barisan pelakon seperti Ariel Fesol, Zarif Ghazzi, Afiq Gamidon, Rizal Rasid dan ramai lagi.dv