Sekilas
- Kumpulan Exists akan memberikan gitar akustik milik Along dan set dram PDP sebagai cenderahati kepada peminat bertuah yang hadir ke Exists Premium Live @ PJ.
- Konsert ini akan menampilkan suasana lebih intim dengan sesi sembang-bual dan kupasan lagu-lagu hits dalam empat segmen khas untuk peminat.
- 100 peminat bertuah juga berpeluang bergambar secara peribadi dengan anggota Exists.
Kumpulan Exists bakal memberikan dua cenderahati buat para peminat bertuah yang hadir ke Exists Premium Live @ PJ yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Menurut Musa, barangan berharga itu adalah gitar milik Along dan juga set drum kepunyaan Ujang.
“Kami sangat berbesar hati untuk menghadiahkan sebuah gitar akustik kepunyaan Along buat peminat bertuah.
“Gitar Manuel Rodriguez keluaran Sepanyol ini pernah digunakan Along untuk merakamkan lagu-lagu seperti Setanggi Syurga (Inteam), Salam Rindu (Fathi Naim) dan juga persembahan Exists ketika rangka promosi Konsert Exists Reunion 2019.
“Malah dengan kerjasama JS Music, satu set dram jenama PDP juga akan diberikan kepada peminat bertuah yang merupakan pembeli tiket konsert,” ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai persiapan konsert, Along berkata mereka semestinya sudah bersedia dan tidak sabar untuk bertemu peminat.
“Ramai peminat yang mula bertanyakan maksud atau konsep Premium yang dimaksudkan oleh Exists dalam persembahan kali ini.
“Apa yang boleh kami katakan bahawa konsert kali ini akan menjadi sebuah konsert yang lebih intimate lebih dekat dan lebih upclose dan personal yang bakal dirasai oleh peminat.
“Akan ada sesi sembang-bual, bertanya soalan dan kupasan tentang lagu-lagu hits yang dipadatkan dalam empat buah segmen.
“Peminat bakal tahu momen-momen sentimental sesebuah lagu sewaktu rakaman, penghasilan hinggalah perasaan yang dibawa.
“Sebenarnya ada hikmah juga di sebalik penundaan konsert, tidak menjejaskan sebaliknya memberi lebih banyak ruang untuk melakukan persiapan daripada segi teknikal.
“Kami sentiasa mementingkan kualiti dan menghargai setiap wang yang dikeluarkan untuk menyokong konsert kami.
“Kami mahu pesona mewah yang ingin disampaikan juga menjadi satu momen tidak dilupakan oleh peminat,” katanya.
100 peminat bertuah akan memiliki peluang bergambar secara peribadi bersama setiap anggota Exists.
Tiket dengan kategori Premium (RM588), VIP (RM488) dan Diamond (RM368) boleh didapati menerusi www.jiotix.asia atau talian hotline +6011 1660 1122 (khusus untuk peminat dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU) sahaja).