Sekilas
- Konsert Exists Memento Mori di Unifi Arena menampilkan gabungan lagu popular dan deep cuts yang kurang dikenali, mencerminkan perjalanan muzik kumpulan selama 35 tahun.
- Pemilihan lagu dalam konsert bukan semata-mata berdasarkan populariti, tetapi juga untuk mengimbangi pengalaman emosi dan naratif persembahan secara keseluruhan.
- Persembahan Exists menekankan kualiti vokal dan muzik dengan produksi minimal, membuktikan kekuatan kumpulan sebagai ikon muzik tempatan yang berpengalaman dan konsisten.
Secara jujur, perasaan bosan sampai menguap seperti yang diluahkan peminat di media sosial sewaktu menghadiri Exists Memento Mori di Unifi Arena Bukit Jalil pada 1 Ogos lalu bukan satu kesalahan. Peminat berhak berasa demikian apabila ada lagu yang dimainkan dalam konsert tersebut bukan lagu pilihan, tidak popular malah langsung tidak pernah didengar.
Maka, berasa bosan adalah tidak salah sama sekali. Malah terus terang penulis katakan, penulis juga tidak pernah tahu kewujudan lagu Disendi Dan Nadi ; ada di dalam album mana, album ke-berapa dan sangat asing apa lagi pernah dimainkan di radio.
Penulis mahu mengajak anda memahami satu kajian literatur ini. Martijn C. Willemsen and Yu Liang menerusi kajian literatur Recommending for the Audience: Tailoring a Live Concert Program to the Music Preferences of the Listeners (2025), menemui dapatan tentang membangunkan sistem yang menyusun set list atau katalog lagu mengikut kehendak penonton atau peminat, bukan berdasarkan susunan album atau kehendak artis.
Penyelidik juga mendapati kepuasan penonton meningkat apabila lagu dipilih mengikut corak kegemaran. Jadi bosan, tidak puas, emosi terganggu dengan pemilihan lagu yang kurang popular adalah tidak salah sama sekali.
Namun mari kita telusuri situasi ini daripada perspektif atau dimensi Exists yang sudah berusia 35 tahun, memiliki ratusan lagu daripada album-album yang dilahirkan sepanjang sepak terajang perjuangan mereka dalam belantikan muzik tempatan dan Nusantara.
Pertama kita bercakap tentang album. Album adalah representasi visi kreatif artis pada satu-satu tempoh, manakala konsert adalah pengalaman langsung (live experience) yang sering dibentuk mengikut jangkaan, emosi dan lagu yang paling diingini oleh penonton.
Justeru tidak semua lagu dalam konsert perlu mencetuskan sorakan maksimum. Tidak semua lagu yang dimainkan mampu memenuhi cita rasa dan emosi semua penonton. Bagi kumpulan yang mempunyai katalog muzik selama lebih 35 tahun seperti Exists, adalah lumrah untuk menyelitkan dua atau tiga lagu yang kurang dikenali bagi meraikan keseluruhan perjalanan seni mereka.
Penonton mungkin mengalami sedikit penurunan keterujaan ketika lagu tersebut dimainkan, namun keadaan itu adalah normal dalam sesebuah persembahan berdurasi lebih dua setengah jam. Apa yang lebih penting adalah keseimbangan keseluruhan repertoir yang menggabungkan lagu-lagu ikonik, karya pilihan peminat tegar dan lagu yang mempunyai nilai sejarah kepada kumpulan.
Dalam istilah industri muzik, lagu-lagu tidak terkenal atau bukan single utama malah jarang dipersembahkan secara langsung dipanggil deep cuts. Walaupun ia bukan lagu katalog pilihan, tetapi masih mempunyai nilai artistik atau sentimental kepada artis dan peminat tegar.
Deep cuts lahir daripada konsep budaya album iaitu album vinil atau CD mempunyai beberapa lagu yang dipromosikan sebagai single, manakala lagu-lagu lain kekal sebagai album tracks ; sesuai pada zaman kemunculan Exists.
Dan itu yang berlaku pada Exists Memento Mori yang dianjurkan oleh Icon Entertainment. Konsep yang dipakai adalah sama seperti konsert milik penyanyi antarabangsa di seluruh dunia. Pergi dan rasai pengalaman konsert artis antarabangsa misalnya BTS, Coldplay atau Madonna, akan ada dalam katalog yang dimainkan bersifat deep cuts antara lain berfungsi untuk mengawal tempo persembahan.
Kedua, konsert bukan jukebox. Dalam kajian muzik popular, konsert dilihat sebagai naratif persembahan bukannya sekadar memainkan lagu mengikut ranking populariti.
Jadi secara peribadi penulis menyifatkan Exists pada malam itu yang tampil dengan enam anggota asal termasuk dua vokalis iaitu Ajai, Shah, Along, Musa, Ujang, Mamat dan Ezad berhak meraikan keseluruhan perjalanan 35 tahun kembara muzik mereka.
Konsep radio, kualiti vokal & produksi tidak kompleks
Exists ‘tidak berdosa’ apabila menyelitkan lagu-lagu kurang popular yang kemudian dibanjiri dengan lagu ikonik mereka seperti Untukmu Ibu, Dirantai Digelangi Rindu, Mengintai Dari Tirai Kamar, Kapal Terbang Kertas, Julia, Jesnita, Langkah Seiringan, Percayakan Siti, Rahsia Pohon Cemara, Bunga, Seperti Dulu, Anugerah, Hilang Dalam Ramai atau Kuman H.I.V (yang ada dalam album pertama dan Mamat baru berusia 12 tahun sewaktu merakamkan lagu tersebut.)
Ketiga, buat kumpulan yang sudah bertahan selama 35 tahun, Exists juga berhak meraikan keseluruhan perjalanan muzik mereka yang bukan sekadar bersifat menghiburkan penonton tetapi menjadi satu dokumentasi fasa-fasa kemashyuran, ‘sepi’ dan kembali aktif dalam persembahan pentas. Ia bukan soal mempersembahkan lagu paling laris tetapi juga karya yang membentuk identiti kumpulan walaupun kurang popular.
Dan keempat, yang paling penting dalam penganjuran sesebuah konsert adalah bagaimana para artis atau pemuzik konsisten dengan bentuk persembahan mereka.
Exists di atas panggung yang dibina dalam konsep era radio atau fokus sepenuhnya kepada kualiti vokal dan muzik, persembahan lebih statik dengan melihat Ezad dan Mamat banyak berdiri di mikrofon, tata cahaya dan visual sangat minimum, penonton hadir untuk mendengar muzik bukan melihat produksi yang kompleks dengan pengalaman hampir sama seperti mendengar siaran radio, tetapi secara langsung, konsert Exists Memento Mori berlangsung tuntas.
Permainan pemuzik Exists yang punya ilmu dan berpengalaman luas cukup padu. Nyanyian Ezad dan Mamat seimbang dan mengasyikkan. Malah saat membawa dua lagu baharu yang dipasarkan sehari sebelum konsert iaitu Buih Jadi Permaidani (versi Malaysia dan Indonesia nyanyian Mamat) dan Memilih Yang Salah, ia senang melekat dalam ingatan penonton.
Dengan permainan solid, penyampaian vokalis yang ‘telan kaset’, stadium penuh sesak ‘mencecah bumbung’, Exists membuktikan kumpulan atau kugiran tempatan bukan jaguh kampung yang hanya lagu mereka popular di radio tetapi lambang perjuangan menuju memento mori yang patut dikenang hingga ke abadian.
Syabas penganjur, tahniah produksi, dirgahayu Exists dan terima kasih penonton kerana menikmati Exists Memento Mori dengan cara dan apresiasi masing-masing. Mana yang kurang diperbaiki, mana yang baik, dipertingkatkan kerana pada akhirnya ia bukan tentang ‘gengsi’ tetapi martabat industri hiburan Malaysia.