Advertisement
Pengarah baharu, Ezrie Gazali mengakui cabaran utama dalam menjayakan filem sulung arahannya Abah Saya Uncle Mike adalah ketika proses pemilihan pelakon.
Menurut Ezrie, jalan cerita filem tersebut menampilkan karakter yang tidak boleh dibawakan oleh nama-nama besar, sebaliknya memerlukan bakat baharu yang benar-benar sesuai dengan watak.
“Cabaran paling besar ialah nak cari pelakon yang tepat. Profil karakter cerita ini tak ada pelakon popular boleh bawakan, jadi kita kena pergi untuk bakat.
“Lelaki dewasa Cina memang ramai di Malaysia, tapi bukan semua sesuai dengan warna watak yang kita mahukan. Begitu juga tiga watak utama remaja dan kanak-kanak, bukan daripada kalangan pelakon popular,” katanya kepada Gempak.
Jelasnya lagi, proses pencarian pelakon dilakukan dalam beberapa peringkat bermula dengan open casting, sebelum diteruskan dengan sesi khas di Sekolah Seni Kuala Lumpur.
Daripada sesi itu, pihak produksi berjaya menemui bakat baharu bernama Merah yang membawakan watak Rashid.
“Selepas open casting, kita teruskan dengan close casting. Masa itu kita jumpa Andy Teh yang sesuai untuk watak Uncle Mike.
“Untuk watak tiga beradik pula, kita sampai ke final enam peserta sebelum pilih tiga yang terbaik berdasarkan chemistry mereka,” ujarnya.
Tambah Ezrie, pemilihan pelakon dibuat dengan teliti kerana beliau mahu naskhah pertama arahannya itu benar-benar memberi kesan kepada penonton.
“Sebagai filem pertama, bagi saya Uncle Mike melambangkan peluang hidup untuk anak-anak yang diangkat. Sama juga peluang yang saya dapat daripada Astro Shaw dan Etika untuk menghasilkan filem ini.
“Setakat ini, penerimaan awal cukup baik dan saya harap mesejnya mampu menyentuh hati penonton,” katanya.
Sekadar info, filem Abah Saya Uncle Mike mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 28 Ogos lalu.