Pelakon, Ezzanie Jasny meluahkan rasa kesal apabila ada sebuah akaun palsu di media sosial yang cuba memainkan isu sensitif berkaitan agama dengan menggunakan identitinya.
Menurut Ezzanie, dia pada awalnya memilih untuk tidak ambil peduli terhadap kewujudan akaun tersebut kerana menyangka kandungannya tidak mendapat perhatian ramai.
Bagaimanapun, situasi berubah apabila Ezzanie dimaklumkan akaun berkenaan mula tular dan meraih jumlah tontonan yang tinggi dengan ‘content’ yang menyatakan dia sudah bertukar agama.
“Itulah bila dia mainkan agama, saya rasa saya harus bersuara juga di media sosial saya. Sebelum ini saya nampak akaun tu, tapi saya fikir tak apalah sebab viewers sikit je, orang pun tak tengok. Kita malas nak layan benda-benda macam ni.
“Tapi bila saya bangun tadi, DM saya memang dibanjiri dengan orang bagi tahu pasal akaun ni. Saya tengok sekarang pun rasanya posting tu dah nak dekat sejuta views. Jadi saya rasa memang kena bersuara sebab saya takut orang salah faham.
“Bila dia mainkan agama ni, dia lain macam. Dia boleh guna gambar saya kat depan Kaabah dan cakap saya ni bukan Islam. Tak baik. Jangan sampai Mimi Monira cari awak,” katanya kepada Gempak.
Mengulas lanjut, pelakon drama Impiana: Karma itu juga mengakui ini merupakan kali pertama dia berdepan dengan situasi sedemikian dan masih mempertimbangkan langkah seterusnya yang wajar diambil.
Tambah Ezzanie, dia juga telah disekat oleh pemilik akaun tersebut, menyebabkan dia tidak dapat menghubungi individu berkenaan secara langsung.
“Sejujurnya, saya tak pernah kena benda macam ni. Jadi saya tak pasti apa yang patut saya buat. Tapi bila tanya kawan-kawan, mereka cakap lebih baik report saja.
“Dia pun block akaun saya, jadi saya tak boleh nak DM dia. Saya cuma boleh tengok melalui akaun orang lain sahaja,” tambah Ezzanie.
Namun begitu, Ezzanie berkata dia masih memerhati perkembangan keadaan dan tidak menolak kemungkinan untuk membuat laporan polis sekiranya tindakan individu tersebut semakin melampaui batas.