Skip to main content

Selebriti

Farah Lee Akui Segan Diraikan - “Ini Bukan Tentang Kami, Misi Ini Tentang Gaza”

Farah Lee Akui Segan Diraikan

Aktivis kemanusiaan, Farah Lee menzahirkan rasa rendah diri dan keengganannya untuk menjadi tumpuan ketika hadir ke Himpunan Solidariti Gaza yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Rabu.

Menurut Farah, dia berasa segan untuk hadir ke acara tersebut, terutamanya apabila mengenangkan nasib beberapa rakyat Malaysia yang dipercayai masih ditahan oleh pihak berkuasa Israel.

Namun kata Farah, dia yakin bahawa usaha pembebasan warganegara Malaysia sedang giat dijalankan oleh pihak kerajaan.

Advertisement

“Saya sebenarnya segan untuk datang ke sini, saya segan diraikan, saya segan diangkat-angkat kerana terutamanya saya tahu masih ada rakyat Malaysia yang telah dipintas pagi tadi (semalam) dan masih dalam tahanan Israel.

“Tapi dalam masa yang sama saya tahu kerajaan Malaysia sedang berusaha keras untuk membebaskan mereka secepat mungkin,” ujarnya ketika memberikan ucapan.

Dalam pada itu, Farah juga menegaskan bahawa fokus sebenar himpunan itu bukanlah kepada mana-mana individu, sebaliknya lebih kepada penderitaan yang sedang dialami rakyat Palestin di Gaza.

“Yang kedua, saya segan berada di sini sebab misi ini bukan tentang kami, misi ini tentang Gaza, misi ini tentang merobohkan kepungan yang berlaku di Gaza.

“Tentang memberikan tekanan kepada dunia yang menyokong penderitaan genocide di Palestin. Tentang membangkitkan suara-suara rakyat untuk sama-sama menjadi wakil bagi mereka di dalam Palestin untuk pembebasan Al-Aqsa dan Palestin,” tegasnya.

Jelas Farah lagi, kehadirannya ke himpunan tersebut bukan untuk menerima penghargaan secara peribadi sebaliknya bagi meraikan rakyat Malaysia yang telah bangkit dan bersatu menzahirkan solidariti terhadap Palestin.

“Saya membuat keputusan untuk datang ke sini sebenarnya bagi meraikan kalian semua yang bersama-sama dengan kami.

“Kerana tanpa suara kalian, suara kami tidak didengari. Ini adalah majlis untuk meraikan kalian semua rakyat Malaysia yang telah bangkit, bersatu bersama-sama untuk menjadikan suara itu sangat besar untuk Palestin.

“Saya harap kebangkiran ini diteruskan untuk kita menolak kekejaman, untuk kita bersuara sehinggalah Palestin akan bebas suatu hari nanti dan kita percaya itu akan berlaku.

“Semoga nama kita tertulis dalam golongan mereka yang membebaskan Palestin,” ujarnya.

Terdahulu, Farah antara 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).

Mereka juga merupakab yang ditahan oleh tentera Zionis semasa dalam pelayaran misi GSF sebelum dibawa ke Penjara Ketziot di Gurun Negev baru-baru ini.

Must-Watch Video

Advertisement