Sekilas
- Fasha Sandha berkongsi bahawa dia sentiasa memastikan jurufoto yang hadir ke majlisnya diberi ruang untuk makan sebelum memulakan kerja.
- Fasha menegaskan tidak sepatutnya berkira tentang makanan terutama bagi jurufoto yang datang mencari rezeki dan kadang-kadang dia akan tapau makanan untuk mereka.
- Seorang jurufoto memohon maaf secara terbuka kerana mengambil makanan tanpa kebenaran ketika bertugas di majlis perkahwinan pada 19 Julai lalu.
Pelakon, Fasha Sandha tampil memberikan pandangan berhubung isu tular seorang jurufoto yang memohon maaf secara terbuka selepas selepas mengakui mengambil makanan tanpa kebenaran ketika bertugas di sebuah majlis perkahwinan
Menerusi perkongsian di platform Threads, Fasha berkata dia sentiasa memastikan jurufoto yang hadir ke majlisnya diberikan ruang untuk menikmati makanan terlebih dahulu sebelum memulakan kerja.
“Aiyo, makan pun salah? Untuk pengetahuan semua, semua photographer datang setiap majlis saya, saya akan pastikan ada ruang mereka makan dahulu.
“Kadang-kadang saya akan suruh mereka datang awal untuk makan-makan dulu,” komennya.
Malah Fasha berkata tidak sepatutnya berkira tentang makanan lebih-lebih lagi apabila jurufoto itu hadir untuk mencari rezeki.
“Kalau dorang rushing tak sempat makan, saya akan tapau untuk mereka. Makanan je pun, takkan lah nak berkira. Macam-macam ragam manusia,” tulisnya.

Terdahulu, jurufoto berkenaan sebelum ini tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pasangan pengantin yang juga merupakan pelanggannya.
Menerusi kenyataan yang dikongsikan, jurufoto tersebut mengakui kesilapannya ketika bertugas di sebuah majlis perkahwinan pada Ahad, 19 Julai lalu.
“Permohonan maaf secara terbuka, saya ingin memohon maaf atas kesilapan saya semasa bertugas di sebuah majlis perkahwinan Haziq & Safia (client saya) pada Ahad, 19 Julai lalu.
“Saya mengakui bahawa saya telah mengambil makanan tanpa jemputan atau kebenaran daripada pihak client saya.
“Saya sedar tindakan tersebut adalah salah dan tidak sepatutnya berlaku,” coretnya.