Skip to main content

Viral

Fattah Amin, Amira Othman Terkilan Muncul Gerakan Boikot Rakan Selebriti - "Mereka Cuma Hadir Majlis Kahwin, Bukan Buat Salah Pun"

Fattmira

Pelakon dan usahawan, Fattah Amin hairan dan kurang senang terhadap tindakan segelintir pihak yang mengugut untuk memboikot rakan artis hanya kerana menghadiri majlis perkahwinannya dan isteri, Amira Othman.

Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, berkata dia tidak memahami motif gerakan boikot itu dan menganggap tindakan sedemikian tidak wajar dilakukan terhadap sesiapa.

Advertisement

“Saya tidak faham dengan benda itu. Niat mereka hanya nak menghadiri majlis kahwin, maksudnya mengeratkan silaturahim. Lepas tu tiba-tiba ada sesetengah pihak pula nak boikotlah, saya tak faham.

"Apa yang boleh saya cakapkan, janganlah kita buat benda itu. Kita doakan orang yang nak buat boikot itu diberi hidayah ataupun petunjuk untuk dia ubahlah,” katanya kepada Gempak.

Fattah ditemui ketika menghadiri majlis minum petang The Garden Of Love Fattmira anjuran Usanita TV (UTV) pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Fattah menjelaskan bahawa dirinya tidak begitu terkesan dengan isu itu kerana tidak melibatkan dirinya secara langsung, namun tetap bersimpati dengan rakan-rakan artis yang menjadi mangsa.

“Saya tidak begitu terkesan sebab tidak berlaku pada saya tetapi mangsa boikot itu.

"Jadi, saya doakan supaya orang yang nak boikot itu diberikan petunjuk dan hidayah untuk berubah," ujarnya.

Sementara itu, isterinya yang juga penyanyi, Amira Othman, turut sependapat dengan suaminya dan menganggap perkara seperti itu adalah sebahagian daripada realiti dunia hiburan.

“Jadi anak seni kan, memang kita tak boleh tutuplah. Akan ada orang suka, ada orang tak suka. Tapi kami tidak mengambil hati, kecil hati atau marah.

"Saya yakin setiap individu ada pilihan masing-masing. Kalau nak memboikot itu, kami tidak nampak atas dasar apa dia ingin memboikot.

"Tapi tak apa lah. Saya dan Fattah pun nak hidup tenang-tenang. Kalau ada yang tak suka, kami doakan mudah-mudahan suka selepas ini,” katanya.

Terdahulu, media sosial kecoh apabila segelintir netizen melancarkan gerakan boikot terhadap beberapa selebriti yang menghadiri majlis pernikahan Fattah dan Amira pada 14 September lalu di sebuah resort di Sepang.

Antara nama yang terpalit termasuk Ernie Zakri, Anzalna Nasir dan Nabila Razali. Terbaharu, pelakon Fasha Sandha turut menjadi sasaran selepas memuat naik gambar menghadiri majlis resepsi pasangan itu di Johor pada Sabtu lepas.

Must-Watch Video

Advertisement