Pelakon, Fattah Amin menitipkan nukilan manis buat isteri tercinta iaitu penyanyi, Amira Othman.
Menerusi hantaran terbaharu di Instagram, Fattah meluahkan rasa syukur terhadap perjalanan takdir yang mempertemukan mereka sebagai suami isteri.
Advertisement
“Dalam tiap helaian takdir, terukir kisah kita. Setulus takdir menyatu dalam satu akad. Setiap detik adalah puisi cinta yang tidak terucap, namun tersemat pada setiap jiwa yang ikhlas,” coretnya.
Dalam satu hantaran lain, Fattah berkata setiap insan mempunyai jalan hidup yang berbeza, namun semua takdir yang ditetapkan adalah dengan hikmah dan waktu yang terbaik oleh Allah SWT.
“Alhamdulillah. 14/9 adalah tarikh yang sangat bermakna buat saya. Telah Allah tulis tentang jodoh ajal maut dan semua urusan hidup kita.
“Pastinya kita semua punya takdir yang berbeza beza. Ujian dan nikmat juga berbeza beza. Betapa Allah Itu Maha Kaya.
“Tapi apa yang pasti. Tidak ada seorang manusia pun yang tahu akan nasib dan takdir kita, tapi kita harus yakin bahawa Allah itu Maha Mengetahui.
“Apa sahaja yang Dia tentukan, adalah yang terbaik. Dan akan jadi pada waktu yang paling baik.
“Terima kasih atas doa yang baik-baik untuk kami. Moga Allah kabulkan doa itu buat kalian semua,” tulisnya.
Terdahulu, Fattah dan Amira selamat bernikah dalam majlis ijab dan kabul mereka yang berlangsung di Dewan Utama, Golden Palm Tree Bagan Lalang, di sini, pada Ahad.
Fattah pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Nur Fazura pada 2017 sebelum bercerai talak satu pada 7 Oktober tahun lalu.
Hasil perkongsian hidup itu, Fattah dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya.
Majlis akad nikah Fattah dan Amira berlangsung meriah dengan diraikan ahli keluarga dan kenalan rapat kedua-dua belah pihak serta disiarkan secara langsung di saluran Inspirasi Unifi TV 2.0.