Sekilas
- Fauzi Nawawi kecewa dengan sambutan kurang memberangsangkan filem Orang Perang di pawagam dan tertanya-tanya genre filem yang sebenarnya diminati penonton Malaysia.
- Fauzi berharap penonton memberi peluang menonton filem ini terlebih dahulu sebelum membuat penilaian, kerana filem Malaysia kini sudah banyak maju.
- Filem aksi Orang Perang mengalami penurunan tayangan lebih awal akibat sambutan hambar, dengan penerbit Hashim Rejab menyatakan perubahan zaman mungkin buat generasi kini kurang berminat dengan tema kenegaraan.
Pelakon, Fauzi Nawawi meluahkan sedikit rasa kecewa apabila filem Orang Perang kurang mendapat sambutan penonton di pawagam.
Menurut Fauzi, situasi tersebut membuatkan dirinya tertanya-tanya mengenai genre filem yang sebenarnya diinginkan oleh penonton di Malaysia.
“Terus terang saya beritahu, saya rasa kecewa dan hairan. Saya tak tahu genre macam mana lagi yang penonton Malaysia mahukan.
“Kalau dikatakan filem sebelum ini yang mengetengahkan elemen ganas, gangster dan buli mendapat sambutan, pada masa sama karya sebegitu juga sering menerima cemuhan dan kritikan. Saya sendiri tak faham.
“Bila kita cuba hasilkan cerita yang mengangkat semangat patriotik serta mengetengahkan figura yang pernah berjuang bermati-matian untuk negara, pula, tak ramai yang mahu menonton.
“Contohnya filem Terbang, sebuah filem yang bagus dan sudah mencapai tahap antarabangsa, tetapi masih tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan.
“Jadi, agak sukar untuk saya meramalkan apa sebenarnya yang masyarakat Malaysia, khususnya mereka yang gemar menonton filem di pawagam, mahukan,” katanya.
Fauzi berkata demikian ketika ditemui Gempak selepas tamat program MeleTOP yang bersiaran secara langsung di Astro Bukit Jalil pada Selasa.

Dalam pada itu, Fauzi juga berharap penonton dapat memberikan peluang kepada filem Orang Perang dengan menontonnya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penilaian.
“Saya sangat berbesar hati kalau anda boleh beri sokongan kepada Orang Perang, bukan sahaja filem ini, tetapi mana-mana filem yang berada di panggung, pergilah tonton dahulu baru nilai.
“Jangan baru tengok tajuk, tengok barisan pelakon kita dah boleh jangkakan sesuatu, tidak. Sekarang sudah tahun 2026, banyak filem-filem Malaysia yang dah maju,” ujarnya.
Orang Perang dibintangi oleh Niezam Zaidi, Syazwan Zulkifli, Ammar Alfian, Fadli Masoot, Dewa Arteh, Izuan Razali, Adam Corrie, Hairi Safwan dan Fauzi Nawawi.
Turut membintangi filem ini ialah Razib Salimin, Kazar Sarsi, Azhan Rani, Pui Yi dan Vanida Imran.
Untuk info, filem aksi Orang Perwng dikatakan berdepan sambutan yang kurang memuaskan di pawagam selepas mula ditayangkan pada 1 Oktober 2026.
Malah penerbit dan pengarahnya, Hashim Rejab mendedahkan pihak pawagam terpaksa menurunkan tayangan Orang Perang lebih awal akibat sambutan yang hambar daripada penonton.
Kata Hashim, perubahan zaman mungkin menjadi faktor membuatkan generasi sekarang berasa jauh dengan filem kenegaraan dan kemerdekaan.