Ringkasan AI
- Filem seram Malam Terlarang kini mencatat kutipan pawagam sebanyak RM7 juta sejak tayangan pada 30 Oktober lalu.
- Filem ini kekal di tangga teratas carta Top Movies GSC dan mendapat pelbagai reaksi positif daripada peminat tempatan.
- Penonton memuji jalan cerita yang segar, lakonan hebat, dan visual seram yang setaraf filem antarabangsa.
- Malam Terlarang menampilkan gandingan pertama kali Zul Ariffin dan Sofia Jane serta dibintangi pelakon terkenal lain.
- Filem bertemakan mistik dan ritual Nusantara ini masih ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei dengan sambutan hangat.
Fenomena filem Malam Terlarang nampaknya masih belum reda apabila naskhah seram terbitan Astro Shaw itu kini mencatat kutipan pawagam terkini mencecah RM7 juta, sekali gus terus kekal di tangga teratas carta Top Movies GSC sejak ditayangkan pada 30 Oktober lalu.
Perkembangan membanggakan itu dikongsi menerusi hantaran di laman Instagram rasmi Astro Shaw hari ini, yang turut menerima pelbagai reaksi positif daripada peminat filem tempatan.
Ramai netizen memuji jalan cerita yang segar, lakonan hebat barisan pelakon serta visual seram yang dikatakan ‘setaraf filem luar negara’, menjadikan Malam Terlarang antara filem tempatan paling hangat tahun ini.
Menampilkan gandingan pertama kali dua pelakon berkaliber, Zul Ariffin dan Sofia Jane, filem arahan Nurhanisham Muhammad (Labu) ini turut dibintangi Shasha Abedul, Sabri Yunus, Normah Damanhuri, Hasnul Rahmat, Haneesya Hanee, Aila Azizul dan Sadiq M. Jamil.
Berlatar era 1980-an, Malam Terlarang mengangkat tema mistik dan ritual Nusantara yang disulam dengan mesej kekeluargaan serta pengorbanan manusia demi memenuhi keinginan duniawi.
Filem ini masih ditayangkan di pawagam seluruh negara dan Brunei, dan terus menerima sambutan luar biasa daripada penonton.