Pelakon muda, Idan Aedan menegaskan anugerah bukanlah perkara yang dikejarnya sepanjang bergelar anak seni.
Sebaliknya kata Idan, 21, fokus utamanya adalah memastikan setiap projek yang dilakonkan mendapat komitmen penuh daripadanya.
Advertisement
“Sebagai pelakon memang kita perlu ada target.
“Tetapi anugerah bukanlah benda yang saya kejar. Apa yang saya kejar ialah untuk kekalkan kerja, pastikan beri 100 peratus dalam setiap projek, dan jadi manusia yang baik macam Uncle Mike,” katanya.
Idan berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media filem Abah Saya Uncle Mike di Mid Valley Megamall pada Selasa.
Dalam perkembangan lain, Idan berkongsi rasa teruja apabila filem lakonannya, The Fox King arahan pengarah Woo Ming Jin terpilih untuk tayangan perdana di Festival Filem Antarabangsa Toronto (TIFF) ke-50 bulan depan.
“Pertama sekali saya sangat bersyukur. Saya takkan dapat peluang sebegini kalau bukan kerana pengarah kami, Woo Ming Jin.
“Filem ini bergenre coming of age dan prosesnya sangat mencabar kerana karakter yang saya bawa penuh variasi tanpa kepastian. Saya sendiri bukan lagi remaja tetapi terpaksa melakonkan watak remaja,” ujarnya.
Dalam filem tersebut, Idan turut digandingkan dengan aktres tersohor Indonesia, Dian Sastrowardoyo yang disifatkannya sebagai rakan pelakon yang sangat menyokong.
“Semua kerana kebaikan dia. Saya masih ingat babak pertama dengan Dian, sangat susah untuk saya lakonkan sebab terlalu gementar. Ada dialog yang saya tak tahu macam mana nak sampaikan.
“Selepas penggambaran, kami banyak luang masa bersama. Kami makan sama-sama, dia sangat ramah dan terbuka untuk saya tanya apa saja tentang teknik lakonan. Jawapan dia sangat rendah diri, tak lokek ilmu. Saya rasa sangat bertuah dan bersyukur dapat pengalaman itu,” ujarnya.
Ditanya mengenai pandangan ramai yang meramal dirinya bakal jadi pelakon hebat kerana sudah mula menembusi pasaran antarabangsa, dia merendah diri dengan mengatakan semuanya hanya rezeki.
“Saya rasa saya bukan seorang saja. Ramai pelakon lain di luar sana yang berbakat. Cuma saya bertuah dapat terlibat dalam produksi ini. Ia juga satu tanggungjawab besar untuk saya.
“Keutamaan saya adalah untuk terus kekalkan motivasi, ingat asal usul dan tak lupa orang-orang yang banyak membantu saya sampai ke tahap ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Idan kini turut membintangi filem Abah Saya Uncle Mike yang bakal menemui penonton di pawagam pada 28 Ogos depan.
Filem ini diangkat daripada kisah benar Michael Tong Wai Siong, atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike, seorang lelaki berbangsa Cina yang membesarkan tiga anak yatim piatu Melayu sejak kecil, lengkap dengan bimbingan rohani dan penghormatan kepada agama Islam.
Dedikasi dan kasih sayang tulus yang ditunjukkan Uncle Mike dalam membesarkan mereka telah menyentuh hati rakyat Malaysia dan mendapat pengiktirafan tertinggi apabila beliau menerima Anugerah Maulidur Rasul 2024 daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas jasa serta pengorbanannya.
Filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama strategik Etika Sdn. Bhd. itu mengetengahkan tema kekeluargaan dan semangat perpaduan, menjentik emosi penonton menerusi mesej bahawa kasih sayang sejati tidak mengenal warna kulit atau darah daging.
Menampilkan pelakon Andy Teh bersama gandingan muda berbakat besar seperti Idan Aedan, Nor Merah dan Umar Shakur, Abah Saya Uncle Mike turut menggunakan bahasa Melayu, Mandarin dan Kantonis bagi mencerminkan kepelbagaian latar masyarakat Malaysia.
Sinopsis Abah Saya Uncle Mike
Rafei, anak sulung daripada tiga beradik yatim piatu, cuba melarikan diri dari rumah anak yatim yang penuh dengan penderaan bersama adik-adiknya demi mencari kehidupan yang lebih baik.
Namun, apabila mereka dipisahkan dengan kejam, Rafei diselamatkan buat sementara oleh seorang lelaki berbangsa Cina yang baik hati, Uncle Mike.
Dalam usahanya untuk menyatukan kembali keluarganya, ketiga-tiga beradik dan Uncle Mike akhirnya terpaksa berdepan dengan makna sebenar sebuah keluarga dan menyedari bahawa ‘Keluarga Bukan Sekadar Pertalian Darah’.