Sekilas
- Filem The Fox King (Semusim Lara) dipilih sebagai penyertaan rasmi Malaysia untuk kategori Filem Cereka Antarabangsa di Anugerah Akademi Ke-99 pada Mac 2027.
- Filem arahan Woo Ming Jin ini mengisahkan dua beradik kembar yang kehidupannya berubah selepas kehadiran guru Bahasa Inggeris baru, Lara.
- The Fox King telah ditayangkan di pelbagai festival filem antarabangsa dan mula ditayangkan di pawagam Malaysia sejak 17 September lalu.
Filem The Fox King (Semusim Lara) dipilih sebagai penyertaan rasmi Malaysia untuk dipertimbangkan dalam kategori Filem Cereka Antarabangsa pada Anugerah Akademi Ke-99.
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memaklumkan, pemilihan tersebut dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Filem FINAS dengan mengambil kira syarat kelayakan ditetapkan Academy of Motion Picture Arts and Sciences (AMPAS).
Anugerah Akademi Ke-99 dijadualkan berlangsung di Dolby Theatre, Hollywood, Amerika Syarikat pada 14 Mac 2027.
Ditulis dan diarahkan Woo Ming Jin, The Fox King mengisahkan dua beradik kembar, Ali dan Amir yang membesar tanpa ibu mereka sebelum kehadiran seorang guru Bahasa Inggeris baharu bernama Lara mengubah kehidupan serta hubungan kedua-duanya.
Filem tersebut menampilkan Idan Aedan, Hadi Putra dan Dian Sastrowardoyo sebagai pelakon utama.
Terbitan bersama syarikat dari Malaysia dan Indonesia, The Fox King turut menerima sokongan Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah Kementerian Komunikasi menerusi FINAS.
Terdahulu, filem tersebut mengadakan tayangan perdana dunia menerusi program Centrepiece di Toronto International Film Festival (TIFF) pada 9 September 2025.
The Fox King kemudiannya menyertai beberapa festival filem antarabangsa termasuk Busan International Film Festival, Jakarta Film Week, Taipei Golden Horse Film Festival, Singapore International Film Festival dan Beijing International Film Festival.
Selain itu, filem terbabit turut ditayangkan di Far East Film Festival di Udine serta San Francisco International Film Festival sehingga 1 Mei lalu.
Kementerian Komunikasi dan FINAS turut merakamkan ucapan tahniah kepada Woo Ming Jin serta seluruh barisan pelakon dan tenaga produksi atas pencapaian tersebut.
The Fox King mula ditayangkan di pawagam Malaysia sejak 17 September lalu.