Selepas hampir tiga dekad menyepi, kumpulan wanita popular era 1990-an, Freshies, akhirnya kembali ke pentas menerusi Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), namun kali ini hanya diwakili dua ahlinya, Ejie dan Shima.
Menurut mereka, penyertaan di GV12 bukan sekadar untuk nostalgia, sebaliknya menjadi platform terbaik menunjukkan bakat sebenar kumpulan itu kepada generasi baharu.
Advertisement
“Sebelum ini masa dan keadaan tidak mengizinkan. Tapi kali ini, semuanya serba sesuai dan rasanya ‘this is the time’ untuk kami pula tampil dan curi perhatian,” kata Ejie mewakili kumpulan itu.
Mengulas ketiadaan dua lagi anggota asal, Shima menjelaskan bahawa Melor kini menetap di Australia manakala Ina pula tidak mendapat keizinan suami untuk menyertai program tersebut.
“Melor berada di Australia, jadi dia tak dapat balik. Ina pula tak dapat kebenaran daripada suami dia. Jadi kami berdua saja yang ada sekarang,” ujarnya.
Walaupun hanya tinggal dua suara, mereka menganggap situasi itu sebagai cabaran baharu yang perlu ditempuh dengan positif.
“Biasanya kami berempat, jadi kali ini memang lain sedikit. Tapi mujurlah kami dah biasa nyanyi sama-sama sebab hubungan kami mak sedara dan anak sedara, jadi serasi itu masih ada,” kata Shima lagi.
Untuk rekod, Freshies pernah mencipta fenomena sekitar tahun 1992 hingga 1996 dengan imej segar dan lagu-lagu pop rap yang rancak.
Dianggotai empat gadis, Mazlena Morat (Ina), Shaziena Wahid (Ejie), Melor Ulong Idris (Melor) dan Noor Hasimah Abu Hassan (Shima), mereka antara kumpulan wanita yang memperkenalkan gabungan vokal dan tarian energetik di pentas tempatan.
Selain Freshies, 12 lagi bintang Gegar Vaganza musim ini adalah Nubhan, Mark Adam, Datuk Elaine Kang, Krisya, Mell Sakura, Rahmat Ekamatra dan Korie.
Dari Indonesia, pentas GV12 turut diserikan dengan kehadiran Shae, Ruri Repvblik serta trio Mendua (Pungky, Sasha & Diana) yang membawa warna muzik tersendiri.
Sementara itu, Singapura tampil dengan bangga menerusi penyertaan Iskandar Ismail, nama yang cukup sinonim dengan keunggulan vokal dan karisma.
Menambah elemen misteri dan kejutan, SHY8 hadir sebagai peserta wildcard musim ini, menjanjikan sentuhan seni yang unik serta kejutan segar yang bakal mencetus fenomena baharu dalam GV-Verse.
Penganjuran Gegar Vaganza pada tahun ini juga masih mengekalkan Datuk Syafinaz Selamat, Hetty Koes Endang dan Datuk Ramli MS selaku juri.
Acara yang berlangsung selama 12 minggu ini akan dikendalikan oleh pengacara hebat Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad.
Gegar Vaganza V12 bakal bersiaran secara langsung di MBSA Shah Alam mulai 2 November 2025, setiap Ahad, jam 9 malam, dan dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (saluran 104).
GV12 turut boleh disaksikan melalui strim secara On Demand di Astro GO dan sooka. Langgan Pek Astro One, hanya RM49.99 sebulan.
Strim hiburan tanpa henti untuk seisi keluarga dan tingkatkan pengalaman penstriman anda dengan Astro Fibre 500Mbps beserta Pek Hiburan pada harga RM139.99 sebulan. Layari www.astro.com.my atau WhatsApp ke 03-9543 3838 untuk melanggan atau menaik taraf hari ini.