Skip to main content

Indonesia

Gegar Vaganza 12: Sifatkan Konsep GV Menarik, Fadly Padi Gugup Menyanyi Depan Bunda Hetty: ”Tak Berani Pandang Mata…”

fadly_gv

Sekilas

  • Iskandar Ismail dari Singapura dinobatkan juara Gegar Vaganza musim ke-12 dalam konsert akhir yang menampilkan peserta final berduet dengan bintang jemputan.
  • Fadly, vokalis kumpulan Padi, berduet dengan Mel Sakura dan mengaku gugup menyanyi di hadapan legenda seni Indonesia, Hetty Koes Endang.
  • Fadly memuji konsep Gegar Vaganza yang memberi peluang kepada penyanyi lama mempamerkan bakat dan menyifatkan inisiatif Astro ini sangat menarik dan asli.

Gegar Vaganza (GV) musim ke-12 melabuhkan tirai dengan menyaksikan penyanyi kelahiran Singapura, Iskandar Ismail dinobatkan sebagai juara baharu program terbitan Astro tersebut.

Menjadi kelaziman, konsert akhir GV menyaksikan peserta final yang bertanding digandingkan bersama bintang jemputan sebagai salah satu ‘ujian’.

Salah seorang bintang tamu yang dijemput menjadi rakan duet peserta final adalah vokalis kumpulan Padi, Fadly. Fadly diberi tanggungjawab berduet dengan Mel Sakura untuk lagu Kasih Tak Sampai. Pada masa yang sama, Fadly turut mempersembahkan lagu Tanpa Batas Waktu yang dicipta Ade Govinda.

Usai persembahan, Fadly yang sudah lebih dua dekad menjadi penyanyi dan digelar sebagai salah seorang pemilik ‘Golden Voice’ di Indonesia tanpa berselindung mengaku sangat gugup kerana perlu menyanyi di hadapan Hetty Koes Endang atau Bunda Hetty.

“Saya sangat gugup kerana perlu menyanyi di hadapan Hetty Koes Endang sewaktu mendendangkan Tanpa Batas Waktu. Saya sampai tidak berani memandang matanya,” ujar Fadly kepada Gempak.

Menurut vokalis kelahiran Makkasar itu lagi, beliau gugup kerana menyifatkan Bunda Hetty sebagai legenda yang cukup berpengaruh dalam dunia seni.

“Hetty Koes Endang itu legenda. Saya sejak kecil mengenal dan meminati beliau dan sekarang harus menyanyi di hadapannya, benar, saya gugup sangat,” katanya lagi.

Berbicara mengenai GV, Fadly menyifatkan program realiti tersebut sebagai menarik kerana menampilkan dan memberi peluang kepada penggiat seni lama kembali mempamerkan bakat mereka di atas pentas.

“Menurut saya konsep GV ini menarik. Memberi kesempatan dan pentas buat penyanyi lama kembali mempamerkan bakat adalah sebuah idea yang mearik. Di Indonesia belum ada program seumpama ini. Jadi ini memang benar-benar asli dari Astro dan inisiatif ini bagus,” ujar Fadly yang akan menyambut ulang tahun ke-28 kumpulan Padi dengan keraikan Konsert Dua Delapan pada 31 Januari ini.

Must-Watch Video

Advertisement