Sekilas
- Lagu raya kini semakin rancak dan pelbagai, bukan sahaja dari penyanyi profesional tetapi juga pempengaruh dan penjual produk yang menggunakan lagu sebagai cara pemasaran.
- Pelbagai genre lagu raya ditawarkan tahun ini, dari lagu rancak seperti Aisha Retro hingga lagu syahdu Dayang Nurfaizah, memberi pilihan luas kepada pendengar.
- Lambakan lagu raya 2026 dianggap sebagai pesta keraian yang menyebar energi positif, sambil menghidupkan kembali tradisi lagu raya yang hampir pupus.
Menjelang Aidilfitri yang berbaki sekitar satu minggu, masih ada dalam kalangan penyanyi ; maaf bukan hanya penyanyi tapi boleh guna istilah ‘sesiapa sahaja’, masih rancak melancarkan lagu raya.
Ya, lagu raya yang pernah agak tandus suatu ketika dahulu kini menjadi satu keraian. Kini, lagu raya tidak hanya dilahirkan oleh penyanyi profesional dengan bantuan komposer berprolifik yang selalu membawa emosi dan rasa syahdu dalam karya bersifat perayaan tetapi telah melalui anjakan ‘kegembiraan’ apabila lagu raya turut dihasilkan oleh pempengaruh dan founder atau penjual produk.
Entah sekarang lagu raya dibuat untuk melariskan produk atau sebagai satu batu loncatan untuk mendapat perhatian sekaligus cara pemasaran alaf baharu atau murni memang dibikin untuk menandai kesyukuran datangnya Aidilfitri, hanya mereka yang tahu.
Apa yang pasti, kemunculan lambakan lagu raya di tahun 2026 menyaksikan pendengar mempunyai banyak pilihan untuk mendengar pelbagai genre lagu raya mengikut cita rasa sendiri.
Jika mahukan lagu rancak, tentu sahaja penyanyi Aisha Retro sedang merajai carta dan ‘menang besar’ dalam kalangan pendengar menerusi Jodoh Lebaran yang secukup rasa ‘manis kuih raya’. Tentu sahaja lagu Biduanita Negara, Datuk Sri Siti Nurhaliza, Beraya Dengan Saya juga menjadi pilihan - sama seperti pendengar sukakan kolaborasi Faizal Tahir dengan Senariounion iaitu Bila Lagi Nak Jumpa.
Jika mahu yang syahdu, Dayang Nurfaizah pegang takhta di tahun ini menerusi Senyum Gugur di Penghujung Doa.

Namun, di sebalik penghasilan lagu raya yang dinyanyikan oleh penyanyi profesional, lagu-lagu nyanyian penjual produk dan pempengaruh seperti Datuk Aliff Syukri sekeluarga iaitu Mama Papa Raya turut mendapat tempat di hati peminat. Jika tidak, masakan video klipnya ditonton lebih dua juta dalam tempoh dua minggu dihasilkan dan beri gelaran ‘netizen approved’. Tidak hanya itu, Aliff juga memiliki lagu raya duet bersama penyanyi Iman Troye, Tung Tung Raya.

Agy pula sempat mengundang kotroversi dengan Lala Raya sehingga klip videonya diturunkan dari atas talian selepas dikecam.
Dan, panjang lagi senarai lagu raya yang dihasilkan pada tahun ini. Persoalannya, kenapa semua orang buat lagu raya? Ada apa dengan Aidilfitri 2026?
Meski terdapat pro dan kontra tentang penghasilan lagu raya masa kini yang disifatkan kurang emosi, terlalu rancak, sudah hilang sentuhan syahdu, tiada mesej dan terlebih joget, boleh sahaja disifatkan pembikinan banyaknya lagu raya di tahun ini sebagai pesta keraian sekali gus menyebar energi serta positiviti menuju Lebaran.
Malah, tidak keterlaluan juga kalau diucapkan terima kasih buat Mimifly, Serumpun dan De Fam, Alamak Raya Lagi yang telah membudayakan semula pembikinan lagu raya yang hampir pupus.
Tanpa merendahkan sedikit pun betapa indah lagu raya malar segar seperti Selamat Hari Raya, Balik Kampung, Musafir di Aidilfitri, Suara Takbir atau Menjelang Hari Raya dan lambakan lagu raya moden yang sungguh catchy, mari kita sambut Aidilfitri dengan penuh harmoni dan kesyukuran semua!