Skip to main content

Hiburan

Generasi Perfect 10: Aila Azizul Puas Dikecam Penonton - “Orang Komen, ‘Saya Benci Imann, Imann Ni Teruk”

hiu

Pelakon baharu meningkat naik, Aila Azizul, tidak menafikan bahawa watak lakonannya sebagai Imann Khalisa dalam siri popular Generasi Perfect 10 (GP10) berjaya mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penonton.

Meskipun ramai yang membenci karakter tersebut kerana sifatnya yang nakal dan ‘mean’, namun bagi Aila, 30, kecaman itu merupakan satu bentuk pengiktirafan terhadap keberkesanan lakonannya.

Advertisement

“Saya main watak Iman dalam Generasi Perfect 10, dan memang dia bukan orang yang sangat baik. Bila orang komen di TikTok dan Instagram kata ‘saya benci Iman’ atau ‘Iman ni teruk’, bagi saya itulah kepuasan saya sebagai pelakon,” katanya ketika ditemui Gempak. 

Menurut Aila, dia sedar ramai yang ‘tertekan’ dengan watak Iman pada awalnya, namun selepas mengenali dirinya di luar set, penonton mula memahami sisi sebenar peribadinya.

“Mula-mula ramai yang marah dan tak suka Iman. Tapi lepas tu mereka follow Instagram saya dan kata saya ni kelakar, comel dengan kucing dan tak sama langsung macam watak tu,” ujarnya sambil ketawa.

Berkat lakonan berkesan itu, Aila kini mula mendapat perhatian ramai dan dianggap antara wajah baharu yang menyerlah dalam dunia lakonan.

Siri Generasi Perfect 10 yang turut dibintangi barisan pelakon muda lain seperti Arena Wan, Arabella Ellen dan Sofia Jane kini antara karya paling mendapat sambutan di platform penstriman tempatan.

Dalam pada itu, Aila kini bakal tampil menerusi filem seram terbaharu Malam Terlarang, arahan Nurhanisham Muhammad (Labu) yang menampilkan barisan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Sofea Jane, Sasha Abedul, Normah Damanhuri, Haneesya Hanee dan Hasnul Rahmat.

Filem itu mengisahkan Mawar (lakonan Shasha), seorang gadis berusia 18 tahun yang terpaksa menangguhkan impian menjadi wartawan demi menjaga ibunya, Sarimah. Namun, kematian mengejut dalam keluarga membawa kepada gangguan makhluk misteri yang menuntut kebenaran di sebalik tragedi gelap tersebut.

Must-Watch Video

Advertisement