Pelakon meningkat naik, Arena Wan mengakui bukan mudah untuk membawakan watak Ezie dalam siri popular Astro Originals, Generasi: Perfect 10.
Menurut Arena, pengalaman menjayakan watak tersebut bukan sekadar cabaran lakonan, tetapi juga meninggalkan kesan mendalam kerana ia merupakan projek pertamanya bersama Astro Originals dan Astro Shaw sebagai pelakon utama.
Advertisement
“Pada saya ini bukan sahaja episod terakhir Generasi Perfect: 10, tetapi saya juga terkenang kembali, ini adalah ini adalah projek Astro Originals pertama saya, projek Astro Shaw sebagai karakter utama.
“Alhamdulillah, syukur, saya sangat berterima kasih atas peluang ini, dan semua yang menunjukkan sokongan kepada kami,” ujarnya.
Arena berkata demikian ketika ditemui pada tayangan episod akhir Generasi: Perfect 10 bertempat di TGV, Pavillion Bukit Jalil baru-baru ini.
Malah kata Arena, projek ini amat bermakna kerana menjadi salah satu impian besarnya untuk terlibat dalam produksi berskala besar.
“Projek ini sangat-sangat bermakna bagi saya sebab pada saya ini umpama mimpi untuk menjadi sebahagian daripada sebuah projek yang begitu besar.
“Jadi untuk menonton episod terakhir, terutamanya pada bahagian hujung dan apabila Ezie mengucapkan monolong itu benar-benar buat saya terkesan.
“Saya sedar, semua usaha kita sangat-sangat berbaloi. Saya sangat bangga dengan semua yang terlibat dalam projek luar biasa ini,” jelasnya.
Selain Arena, Generasi: Perfect 10 arahan Sling Ng ini dibintangi oleh Arabella Ellen, Sofia Jane, Ellyza Azizi, Daniel Fong, Sharifah Sakinah, Qi Razali dan Sherie Merlis.
Saksikan episod akhir Generasi: Perfect 10 secara eksklusif di Astro Ria, Astro Citra, Astro GO dan aplikasi sooka.
Siri ini mengisahkan watak utama Ezie, lakonan Arena Wan, yang sejak kecil meminati sukan gimnastik.
Namun, perjalanan hidupnya berubah selepas kelab gimnastik sekolah ditutup sebelum dia nekad menyertai sebuah akademi sukan berprestij.