Pelakon, Zarif Ghazzi meluahkan rasa syukur apabila namanya tercalon dalam satu kategori di anugerah Gempak Most Wanted Award 2025 (GMWA2025).
Menurut Zarif atau nama lengkapnya Zarif Farahi Effie Ghazzi, pencalonannya dalam kategori Selebriti Tergempak sedikit sebanyak memberi suntikan semangat untuknya terus berkarya dalam industri seni.
"Saya sangat-sangat bersyukur selepas tahu pasal berita ini. Tahun lepas adalah satu tahun yang sangat bertuah buat saya sebab dapat membintangi banyak drama dan sedikit sebanyak membuatkan lebih ramai orang mengenali saya dalam industri seni.
"Pencalonan dalam anugerah ini sedikit sebanyak memberi semangat kepada saya untuk lebih berkarya dan berikan yang terbaik dalam setiap apa yang saya buat.
"Menang kalah saya tolak tepi dahulu, apa yang penting bagi saya sekarang adalah menyampaikan kerja saya sebagai pelakon dengan sebaiknya, tapi andai kata ada rezeki saya Alhamdulillah ia bonus buat saya," katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Zarif juga berterima kasih kepada semua pihak yang memberikannya ruang untuk berkarya sebagai anak seni dan peminat yang sentiasa menyokong perjalanan karier seninya.
"Pencalonan ini bukan sahaja hasil kerja saya tapi mereka yang bagi ruang dan peluang untuk saya berada dalam industri ini. Kerana kalau tiada mereka mungkin saya tidak berada di sini.
"Peminat juga banyak sangat membantu, sokongan yang saya dapat daripada mereka memberikan saya lebih semangat untuk berkarya. InsyaAllah tahun 2026 bakal jadi tahun yang lebih manis untuk saya dan peminat, doakan," tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Zarif juga baru sahaja dilantik sebagai salah satu barisan ‘Duta’ jenama pakaian terkenal, Jakel.
Zarif Ghazzi secara rasmi diumumkan sebagai Duta Gen Z 2026 bersama-sama Arabella Ellen dan Lorenzo Irman.
Senarai Top 10 GMWA2025 diumumkan secara rasmi pada 14 Januari 2026 dan fasa undian akan dibuka kepada orang ramai bermula 15 Januari hingga 15 Februari 2026.
Lebih menarik, GMWA kali ini juga membawa format baharu iaitu 50 peratus undian peminat dan 50 peratus lagi undian daripada juri profesional.
Edisi kali ini juga tiada lagi dua fasa undian seperti edisi terdahulu sebaliknya calon-calon Top 10 akan terus bertanding sehingga ke Malam Kemuncak GMWA2025.
Sebanyak 50 kredit undian diberikan bagi setiap kategori sehari.
Jangan lupa layari www.gempakmostwantedawards.com untuk mengundi calon kegemaran anda.