Skip to main content

Kpop

Go Min Si Mengaku Memberontak Di Sekolah: “Tapi Bukan Membuli”

Go Min

Aktres Go Min Si akhirnya bersuara selepas tiga bulan berdiam diri selepas dituduh pernah melakukan aksi buli semasa di sekolah menengah.

Pengakuan tersebut dibuat bintang Sweet Home itu menerusi kenyataan yang dikongsi di media sosial Instagram, baru-baru ini.

Advertisement

Min Si baru bersuara saat ini kerana menghormati masa siasatan yang dijalankan terhadapnya beberapa bulan lalu.

Perempuan berusia 30 tahun itu mengaku telah lama menahan emosi untuk meluahkan perasaan dan bercakap bagi pihak dirinya.

“Saya menahan emosi selama ini untuk bersuara dan sekarang saya mahu jelaskan perkara daripada posisi saya.

“Ya, di sekolah saya harus mengakui pernah memberontak.

“Tapi saya bersumpah tidak pernah melakukan aksi buli di sekolah,” tegasnya seperti dilaporkan biz.chosun.com.

Pelakon siri The Frog itu malah menyokong tindakan tegas diambil terhadap pembuli.

“Saya percaya buli adalah hal yang cukup serius dan pembuli perlu menerima hukuman yang setimpal.

“Namun pada masa yang sama, melemparkan fitnah tanpa mengetahui fakta yang sahih sehingga menimbulkan banyak salah faham juga adalah sesuatu yang salah,” katanya.

Min Si juga mengatakan kebenaran akan terbongkar pada masa akan datang.

Pada akhir Mei lalu, komuniti atas talian dengan judul Actor Go OO's School Violence Victims telah disiarkan dengan mendakwa Go Min Si sebagai seorang pembuli. Dakwaan tersebut menimbulkan kontroversi dan pelakon itu memilih untuk tidak memberi kenyataan sehingga siasatan dijalankan terhadap laporan tidak berasas tersebut.

Must-Watch Video